Carian
Apple Ingin Mengintegrasikan Sokongan  Enjin Carian AI Pada Pelayar Web Safari
May 8, 2025 Aman

Apple kini berkongsi mengatakan mereka sedang melihat untuk membentuk semula pelayar web Safari, dengan integrasi sokongan enjin carian dikuasakan AI padanya. Hal ini dikongsikan pihak Apple ketika perbicaraan melibatkan dominasi Google dalam arena enjin carian.

Apple dijangka menerima bayaran sekitar $20 bilion setahun dalam menyertakan Google sebagai enjin carian utama pada pelayar web mereka. Dengan letusan penggunaan kecerdasan buatan, Apple kini turut bersedia untuk mengintegrasikan sokongan enjin carian dikuasakan AI pada pelayar web utama mereka, Safari.

Pihak Apple turut mengatakan mereka percaya penyedia enjin carian berasaskan AI seperti Perplexity, OpenAI dan Anthropic akan menjadi salah satu alternatif yang menggantikan Google. Ini sekaligus membuatkan Apple bersedia menambah sokongan enjin carian berkenaan pada Safari pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, pihak Apple turut mengatakan penggunaan carian di Safari memperlihatkan trend menurun pada bulan lepas, dan salah satu sebabnya dikatakan adalah disebabkan oleh pengguna lebih selesa menggunakan AI untuk tujuan carian.

Komen