Huawei memperkenalkan sistem operasi HarmonyOS PC semalam. Sistem ini dibangunkan berasaskan HarmonyOS 5 (Harmony NEXT) dan merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk mewujudkan ekosistem teknologi yang bersepadu.

Kelebihan utama HarmonyOS PC ialah integrasi pintar dengan ekosistem Huawei yang membolehkan pengguna menggunakan telefon pintar, tablet dan komputer riba secara lancar tanpa bergantung pada penyelesaian pihak ketiga. HarmonyOS PC juga menawarkan sokongan kepada lebih 1000 peranti lain termasuk papan kekunci, monitor dan mesin pencetak.

Selain itu, sistem operasi ini menggunakan Ark Graphics Engine iaitu teknologi grafik yang boleh bantu memaksimumkan kecekapan paparan untuk setiap interaksi antaramuka lebih responsif. Huawei turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan privasi melalui sistem StarShield yang boleh meningkatkan pelindungan data dengan sistem penyulitan dan pengesahan skrin kunci bagi mengurangkan risiko serangan siber.

HarmonyOS PC turut menyokong fungsi kolaborasi antara peranti membolehkan pemindahan aplikasi. Selain itu, multi-window drag-and-drop serta mirroring screen pula menjadikan kerja multi-tugas lebih efisien sesuai untuk mereka yang mahu aliran kerja tanpa gangguan. Huawei Share pula membolehkan pemindahan fail berkelajuan tinggi sangat berguna bagi pengguna yang kerap berkongsi dokumen atau media.

Dengan sokongan lebih 150 aplikasi khas untuk PC, dan 2000 aplikasi universal, HarmonyOS PC menyediakan peluang untuk pembangun dan pengguna mencuba ekosistem perisian yang lebih meluas. Aplikasi ini merangkumi pelbagai kategori seperti produktiviti, kewangan, pendidikan, hiburan dan lain-lain. Huawei dijangka melancarkan komputer pertama dengan HarmonyOS PC pada 19 Mei 2025.