Carian
Papan Kekunci Gaming Padat Razer Joro Kini Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM649
May 9, 2025 Nazrin

Jika anda sedang mencari sebuah papan kekunci gaming padat yang hadir dengan kelas premium, Razer hari ini telah mengumumkan ketibaan pilihan papan kekunci terbaru mereka yang dinamakan Razer Joro.

Razer Joro merupakan sebuah papan kekunci yang agak menarik, dimana dari sekilas pandang, ia seperti mempunyai rekabentuk sebuah papan kekunci 75%, yang mengekalkan kunci-kunci fungsi (Function keys) di bahagian atas dengan saiz kekunci yang lebih kecil.

Papan kekunci ini hadir dengan berat serendah 374 gram dan ketebalan 16.5mm sahaja, menjadikannya sebagai salah satu daripada papan kekunci yang paling nipis dan ringan di pasaran sekarang. Rangka luaran papan kekunci ini juga diperbuat daripada aloi aluminum yang memastikan bahawa rangka papan kekunci ini adalah agak kukuh.

Ia juga menggunakan suis Razer Ultra Low Profile yang merupakan suis jenis scissor-switch yang memiripi papan kekunci sebuah komputer riba, tetapi dengan titik pengaktifan yang lebih dalam. Dari segi fungsi yang lain, ia juga boleh disambungkan ke komputer anda menggunakan palam USB Type-C, yang juga digunakan untuk pengecasan.

Ia juga mempunyai kemampuan N-key rollover, yang bermakna bahawa semua kekunci yang ditekan akan dikira dan dikesan sebagai input, cukup berguna jika anda menggunakan papan kekunci ini untuk tujuan gaming.

Sebagai sebuah papan kekunci yang ringan dan nipis, Razer Joro juga hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar ke komputer anda, melalui sambungan Bluetooth 5.0 dan fungsi bertukar sambungan ke komputer berbeza. Malah, jika anda menggunakan kedua-dua komputer Windows dan MacOS, gabungan kekunci Fn+Tab membolehkan anda untuk menukar susun-atur kekunci untuk kedua-dua sistem operasi ini dengan mudah dan cepat.

Papan kekunci Razer Joro ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan melalui pengedar rasmi produk-produk Razer di Malaysia pada harga RM649.

Komen