Carian
Intel Dan Microsoft Menandatangani Perjanjian Untuk Menghasilkan Cip Dengan Proses 18A
May 9, 2025 Nazrin

Apabila Pat Gelsinger mengambil-alih tampuk kepimpinan Intel beberapa tahun lalu, salah satu projek yang dimulakan beliau ialah 5N4Y, iaitu untuk memastikan bahawa Intel mengejar kembali pembangunan teknologi pengeluaran cip pemprosesan untuk bersaing dengan syarikat seperti TSMC, Samsung dan sebagainya.

Daripada proses 10nm, Intel akhirnya telah mula memperkenalkan proses pengeluaran cip 18A (1.8nm/18 Angstrom), yang akan digunakan untuk membangunkan cip pemprosesan terbaru mereka. Tetapi matlamat Intel juga ialah untuk proses pengilangan cip semikonduktor ini digunakan oleh pelanggan-pelanggan lain.

Intel HQ

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Intel telah menandatangani perjanjian dengan Microsoft untuk mengeluarkan cip-cip pemprosesan semikonduktor menggunakan proses tersebut. Ia tidak diumumkan lagi apakah tujuan cip-cip pemprosesan ini akan dibangunkan, tetapi ia dijangka adalah untuk peranti-peranti kelas pengguna ataupun enterprise untuk peranti-peranti kegunaan pejabat.

Dalam pada itu, TrendForce turut melaporkan bahawa Intel sedang berbincang dengan Google untuk mengilang cip pemprosesan juga untuk syarikat tersebut, tetapi sama seperti Microsoft, ia tidak diumumkan lagi apakah tujuan cip-cip pemprosesan ini akan digunakan.

Kebarangkalian besar ini adalah cara untuk syarikat-syarikat teknologi Amerika Syarikat ini untuk mengelak daripada perlu membayar tarif mahal untuk mendapatkan komponen-komponen cip berprestasi tinggi mereka dihasilkan di negara-negara luar Amerika Syarikat. TSMC juga telah membuka kilang di Arizona, dan dilihat akan menghasilkan cip pemprosesan untuk syarikat teknologi seperti Apple, AMD dan NVIDIA.

Bagi Intel, ia dilihat bahawa projek 5N4Y akhirnya akan membuahkan hasil, bukan sahaja dari segi penghasilan cip pemprosesan mereka sendiri, tetapi untuk mengembalikan zaman kegemilangan Intel sebagai pembuat cip terkemuka untuk syarikat-syarikat teknologi lain juga.

Komen