Bukan kesilapan ejaan ataupun Amanz secara tiba-tiba berubah Blogserius hari ini tetapi spesis ketam bunian telah ditemukan saintis di Gunung Jerai, Kedah. Spesis baharu ketam ini ditemukan oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu dan National University of Singapore (NUS). Nama saintifik Geosesarma bunian diberikan kerana ia berwarna cantik dan selama ini tidak ditemukan oleh saintis seperti mitos orang bunian yang dipercayai penduduk tempatan.

Geosesarma bunian ialah spesis kelima di dalam keluarga G. foxi. Ia juga bersaiz kecil dengan ketam jantan bersaiz 8.3 × 8.3 mm), manakala betina pula boleh mencecah 10.1 × 9.9 mm. Ia berkait rapat dengan spesis ketam puntianak dengan penyelidik mengesyaki ia turut mempunyai keupayaan untuk hidup di atas pokok.
Jadi jika anda ke Gunung Jerai nanti, anda tidak lagi perlu takut dengan bunian dan puntianak kerana saintis mengesahkan ia hanyalah spesis ketam kerdil dan bukannya makhluk angker.