Perkhidmatan Seru-Pandu InDrive Dan Maxim Diarahkan Menghentikan Operasi Bermula 24 Julai
Nazrin
Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa syarikat perkhidmatan seru-pandu InDrive telah diberikan notis oleh APAD untuk mengembalikan lesen perniagaan pengantaraan dalam tempoh tiga bulan kerana kegagalan untuk mematuhi peraturan tatacara menjalankan perkhidmatan tersebut.
Terkini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengatakan bahawa kedua-dua syarikat InDrive dan Maxim, yang merupakan perkhidmatan kenderaan seru-pandu dari Rusia kini telah diarahkan untuk menghentikan operasi mereka bermula 24 Julai 2025 kerana didakwa menjalankan operasi mereka secara haram.

Menurut beberapa laporan akhbar, diantar sebab mengapa kedua-dua syarikat ini diarahkan untuk menghentikan perkhidmatan mereka ialah kerana mereka telah melanggar undang-undang yang termaktub dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Dibawah akta ini, semua kenderaan yang beroperasi dibawah platform ini perlu memiliki Permit Kenderaan E-hailing yang sah, disamping memegang lesen pengendali individu dan lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV). Syarikat-syarikat yang didapati melanggar akta ini boleh diarahkan untuk memberhentikan operasi mereka dengan serta-merta.
Anthony Loke turut mengatakan bahawa kedua-dua syarikat ini boleh membuat rayuan keatas keputusan tersebut, tetapi keputusan muktamad tentang samada mereka boleh kekal beroperasi di Malaysia masih akan terpulang kepada beliau.
[sumber]The Star, Malaysia Dateline[/sumber]