Jika anda seorang pengguna peranti Apple iPhone, kemaskini kepada aplikasi peta digital Google Maps baru-baru ini telah dikemaskini untuk membolehkannya mengimbas tangkapan layar lokasi-lokasi yang diambil anda, dan menyenaraikannya didalam aplikasi tersebut.
Ciri ini telah diumumkan pada bulan Mac yang lalu, dan kini ia nampaknya sudah sedia digunakan oleh pengguna peranti Apple iPhone. Google Maps menggunakan kemampuan AI Gemini untuk mengimbas tangkapan layar untuk mencari lokasi berdasarkan gambar didalam tangkapan layar tersebut, ataupun alamat yang tertera padanya.

Ciri ini diharapkan memudahkan pengguna peranti iPhone untuk mengingati lokasi-lokasi menarik dengan lebih mudah, iaitu melalui penyenaraian lokasi di Google Maps, daripada perlu untuk mencari tangkapan layar yang diambil berbulan-bulan dahulu.
Untuk mengaktifkan ciri ini, pengguna iPhone hanya perlu memastikan bahawa aplikasi Google Maps sudahpun dikemaskini dengan versi yang terbaru, dan kemudiannya pergi ke tab “You” untuk melihat senarai Screenshots.

Semua tangkapan layar yang diambil yang mempunyai gambar lokasi yang dikenali, ataupun alamat kepada sesebuah lokasi akan disimpan disini. Ia kemudiannya boleh dipindahkan ke senarai lain sekiranya dimahukan.
Jika anda membenarkan Google Maps untuk mengakses semua gambar-gambar anda, ia akan mengimbas folder tangkapan layar anda dan akan mengimbas lokasi dan alamat yang ia ketahui. Anda juga boleh memilih untuk memuat-naik gambar secara manual untuk imbasan ini untuk memastikan bahawa ia hanya mengimbas gambar-gambar yang anda mahukan.
Google mengatakan bahawa ciri ini akan hadir untuk peranti Android di masa akan datang.