Walaupun kandungan 8K masih lagi belum ditawarkan secara meluas, ia tidak menghalang Samsung untuk melancarkan beberapa model baharu TV Neo QLED 8K mereka semalam. Seperti semua produk mereka sejak tahun lalu, ciri kecerdasan buatan (AI) yang diberi nama Vision AI dan kemampuan sambungan input secara nirwayar.

Teknologi Wireless One Connect membolehkan kandungan dipancarkan daripada sebuah kotak One Connect kepada TV pada resolusi 8K 120Hz secara nirwayar sepenuhnya sehingga 10 meter dan walaupun terdapat halangan. Dengan ini TV hanya perlu dipasang kepada wayar kuasa tanpa pelbagai kabel HDMI. Ini ialah evolusi kepada One Connect Box yang menggunakan satu kabel nipis untuk disambungkan kepada TV.

Ini ialah penyelesaian cukup minimalis kepada isu kabel berselirat apabila dipasang pada konsol, PC, kotak TV, pemain DVD dan sistem audio. Kotak One Connect akan menjadi hab yang boleh disorokkan daripada pandangan.
Selain itu sistem Vision AI pula boleh menjana sari kata kandungan secara automatik apabila ia tidak ditawarkan pada platform pilihan. Ia juga boleh menjana imej latar belakang TV menggunakan AI generatif seperti yang boleh dilakukan peranti Galaxy.

Ciri Click to Search pula boleh menawarkan maklumat mengenai kandungan yang sedang ditonton seperti pelakon dan menyarankan kandungan lain yang boleh ditonton. Ia juga melakukan proses menaik taraf visual ke resolusi 8K daripada resolusi asal. Lebih comel terdapat ciri Pet Care yang apabila mengesan anjing di rumah menyalak misalnya, ia akan terus memainkan kandungan yang boleh menenangkannya. Kesemua ini dilakukan menggunakan cip NQ8 AI Gen 3 yang mempunyai CPU 1.3x, GPU 2.2x dan NPU 2x lebih pantas berbanding generasi terdahulu.

Dua model ditawarkan iaitu Samsung QN990F dam Samsung QN900F. Samsung QN990F ditawarkan dalam saiz 65″, 75″, 85″, dan 95″. Sementara itu Samsung QN900F pula dalam saiz 65″, 75″ dan 85″. Harga jualan tempatan belum diadakan tetapi Samsung Malaysia akan mengadakan majlis pelancaran tempatan dalam masa 10 hari lagi.