Nintendo Boleh Mematikan Konsol Pengguna Jika Perisian Digodam dan Cetak Rompak Dikesan
Nazrin
Konsol permainan video Nintendo Switch 2 akan dilancarkan tidak lama lagi untuk pasaran Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa kawasan lain, dan baru-baru ini, syarikat permainan video dari Jepun tersebut dilaporkan telah mengemaskini dokumen perjanjian pengguna (End User License Agreement) mereka dengan beberapa butiran baru yang sedikit merisaukan.
Ia dilaporkan bahawa dengan pelancaran konsol Nintendo Switch 2 kelak, sekiranya syarikat tersebut mengesan bahawa konsol tersebut telah diubahsuai untuk membolehkan permainan cetak rompak dimainkan, syarikat berhak untuk mematikan konsol tersebut tanpa kebenaran atau pengetahuan pihak pengguna.
Dokumen perjanjian pengguna tersebut juga telah dikemaskini, pertama untuk mengelakkan Nintendo daripada dikenakan saman tuntutan mahkamah berkumpulan (class-action lawsuit) ataupun tuntutan mahkamah di hadapan juri untuk negara-negara seperti Amerika Syarikat yang mengamalkannya.

Kemaskini ini akan dikuasakan untuk kedua-dua pihak pengguna dan juga Nintendo, yang juga tidak akan menyaman pengguna di mahkamah tentang isu yang berkaitan dengan penggunaan konsol mereka. Nintendo mengatakan bahawa sebarang kegusaran boleh diselesai menggunakan khidmat pelanggan mereka.
Beberapa tahun dahulu, Nintendo pernah disaman kerana isu berkaitan controller drift pada alat kawalan JoyCon mereka, kerana alat kawalan analog yang rosak tidak boleh diperbaiki, dan sebaliknya pengguna perlu membeli aksesori baru, sebelum kes saman tersebut difailkan.
Walaupun ia merupakan hak Nintendo untuk melindungi IP dan produk mereka, perbuatan ini dilihat sebagai sangat anti-pengguna. Ia dijangka bahawa kemaskini kepada EULA ini tidak akan mengubah pendapat dan kehendak peminat untuk membeli konsol terbaru tersebut, tetapi untuk mereka yang masih berada di atas pagar, mereka mungkin akan berfikir dahulu sebelum membuat keputusan.
[sumber]Arstechnica, GamesRadar[/sumber]