Bekas Pengerusi Tsinghua Unigroup Dijatuhkan Hukuman Mati Kerana Penyelewengan
Effi Saharudin
Zhao Weiguo, bekas pengerusi syarikat semikonduktor Tsinghua Unigroup yang menghasilkan semikonduktor dijatuhkan hukuman mati kerana didapati bersalah melakukan jenayah penyelewengan. Sungguhpun begitu hukuman akan digantung selama dua tahun dan jika Zhao tidak melakukan jenayah baharu dalam tempoh tersebut, hukuman berubah ke penjara seumur hidup.Selain hukuman mati, beliau juga didenda RMB 12 juta (~RM 7.14 juta).

Semasa menjadi pengerusi antara 2009 hingga 2023, Zhao menggunakan kedudukan beliau untuk membeli perkhidmatan daripada kenalan dan sanak saudara pada harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya. Pelaburan Tsinghua Unigroup dalam hartanah, perjudian atas talian dan syarikat cip pula turut mendatangkan kerugian sehingga syarikat gagal melakukan pembayaran bon pada tahun 2020. Siasatan ke atas beliau dilakukan pada tahun 2023 yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan.
Tsinghua Unigroup ialah syarikat induk kepada UNISOC Communications Co, Guoxin Micro, UniCloud Technology Co, Unisplendour dan Linxens. Sebagai antara syarikat semikonduktor utama China, ia sepatutnya merealisasikan impian China untuk menghasilkan cip buatan sendiri. Tetapi disebabkan penyelewengan Zhao, beberapa kilang fabrikasi cip dan DRAM terpaksa dibatalkan kerana isu kewangan.