Apple Vision Pro Akan Menyokong Tatalan Menggunakan Mata
Effi Saharudin
Apple sedang membangunkan visionOS 3 dengan ia akan menggantikan ciri menatal kandungan di skrin menggunakan pergerakan mata menurut laporan Bloomberg. Selama ini tatalan perlu dilakukan dengan tangan dengan Vision Pro akan menjejak pergerakannya secara masa nyata.

Ini bukan sahaja memudahkan kawalan untuk pengguna biasa tetapi pastinya lebih berguna untuk golongan OKU lebih-lebih lagi mereka yang lumpuh. Semalam Apple mengumumkan ciri ketercapaian baharu membolehkan Vision Pro dikawal menggunakan implan otak yang dihasilkan oleh Synchron.
Ciri tatalan menggunakan mata pernah suatu ketika adalah ciri yang diberikan pada peranti Android keluaran Huawei, Samsung dan Oppo. Tetapi ciri seakan dilupakan dan perlu diaktifkan sendiri oleh pemilik peranti untuk menggunakannya.,
Ciri baharu yang akan diperkenalkan pada visionOS 3 akan diperlihatkan secara rasmi di acara WWDC yang berlangsung bulan depan. Selain visionOS kemas kini untuk iOS, iPadOS, macOS, tvOS dan watchOS juga akan diumumkan dalam acara yang sama.