ASUS Vivobook S14 Dan S16 Akan Tiba Di Pasaran Tempatan Kelak Dengan Harga Bermula RM3199
Nazrin
ASUS Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa dua model komputer riba mampu milik mereka, ASUS Vivobook S16 dan Vivobook S14 akan memasuki pasaran tempatan pada minggu hadapan, dengan satu model ASUS Vivobook S16 dan dua model Vivobook S14 akan diperkenalkan.

Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi dengan paparan skrin IPS dengan saiz 16 inci dan kadar segar semula 144Hz (Vivobook S16) dan 14 inci dengan kadar segar semula 60Hz (Vivobook S14) pada resolusi Full HD+ (1920×1200) dan nisbah bingkai 16:10 yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, peratusan skrin ke bingkai pada kedua-dua komputer riba ini adalah 89 peratus, memberi pengguna skrin yang besar pada rangka komputer riba yang lebih padat, sesuai untuk pekerja digital pada alaf ini yang kebiasaannya akan bekerja dari luar pejabat.

Kedua-dua komputer riba ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i5-13420H dengan 16GB memori DDR5 dan storan SSD sebesar 1TB. Khusus untuk model Vivobook S14, a juga tampil dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 255H dengan penawaran memori dan storan yang sama.
Dari segi rekaan, ASUS Vivobook S terbaru ini masih lagi tampil dengan rangka aluminum yang membolehkan komputer riba ini hadir dengan ketebalan senipis 15.9mm dan seringan 1.3kg bergantung kepada model.

Kesemua model komputer riba yang ditawarkan juga hadir dengan bateri terbina sebesar 70Wh, dan menjanjikan jangka-hayat bateri selama 20 jam dengan satu pengecasan penuh. Dari segi sambungan pula, komputer-komputer riba ini hadir dengan dua palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI dan satu palam audio 3.5mm.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa model ASUS Vivobook S16 akan ditawarkan pada harga RM3199 (Intel Core i5), manakala ASUS Vivobook S14 yang hadir dengan dua penawaran model akan dijual pada harga RM3199 (Intel Core i5) dan RM4099 (Intel Core Ultra 7). Komputer-komputer riba ini akan dijual secara rasmi bermula 19 Mei 2025.
Mereka juga mengesahkan ketibaan model yang dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon X yang akan diperkenalkan sekitar bulan Julai kelak.