Carian
Sony WH-1000XM6 Dilancarkan Dengan Rekaan Boleh Dilipat dan Bateri 30 Jam – Harga RM2099
May 16, 2025 Effi Saharudin

Sony WH-1000XM6 telah dilancarkan secara rasmi awal pagi ini dengan ia mengesahkan pelbagai maklumat yang telah tertiris sebelum ini. Walaupun sekilas pandang rekaannya mirip dengan WH-1000XM5 yang dilancarkan tiga tahun yang lalu, XM6 membawakan perubahan yang diminta peminat seperti kemampuan boleh dilipat, tempat simpanan lebih kecil dan engsel diperbuat daripada bahan logam.

Dengan kemampuan boleh dilipat, XM6 boleh disimpan dalam saiz lebih kompak bagi menjimatkan ruang. Engsel berhampiran cawan telinga kanan membolehkan XM6 dilipat sama seperti XM4. Cawan telinga kanan dan kiri boleh dilipat dengan engsel logam digunakan bagi memastikan ketahanan jangka panjang ini dilakukan berkali-kali.

Bekas simpanan yang lebih kecil mempunyai bahagian penutup bermagnet menggantikan zip. Ia juga kini mempunyai poket untuk menyimpan kabel audio 3.5mm yang tidak lagi mempunyai pintu penutup. Bahagian dalam diperbuat daripada bahan seakan kain felt dengan cangkerang luar daripada bahan kanvas lebih kasar.

XM6 dipertingkatkan dengan cip Sony QN3 yang menawarkan pemprosesan pembatalan hingar 7x lebih pantas berbanding QN1 yang digunakan XM5. Pemandu audio adalah sebesar 30mm jenis dinamik dengan ia dipadankan dengan 12 mikrofon bagi menyokong ciri ANC lebih baik. Sambungan boleh dilakukan menggunakan bluetooth dan kabel audio 3.5mm.

Ciri baharu yang diperkenalkan ialah kemampuan menjawab dan menolak panggilan telefon dengan mengangguk kepala, butang kuasa lebih besar dan mod audio dengan pentas lebih luas seperti berada di dalam kafe. Rekaan lebih asimetri digunakan pada bahagian tangkap memudahkan pengguna membezakan cawan kiri dan kanan serta span untuk cawan telinga lebih mudah ditukar.

Sokongan audio Hi-Res Audio, LDAC, DSEE Extreme dan 360 Reality Audio dikekalkan bersama penjejakan lokasi kepala. Bateri boleh bertahan sehingga 30 jam dengan pengecasan 3 minit sahaja boleh menawarkan penggunaan sehingga 3 jam.

Pratempahan Sony WH-1000XM6 telah dibuka di Malaysia hari ini hingga 8 Jun pada harga RM2099 sepasang dalam warna Black, Platinum Silver, dan Midnight. Ini adalah lebih mahal berbanding XM5 yang dijual pada harga RM1799 semasa dilancarkan. Pelanggan yang melakukan pratempahan akan menerima tempat meletak fon kepala bernilai RM199 dan jika produk didaftarkan mereka akan menerima kredit TnG eWallet bernilai RM50. XM6 kemudiannya akan mula ditawarkan secara terbuka pada pertengahan Jun.

Komen