Pandang Pertama Acer Swift Edge 14 AI – Lebih Ringan, Lebih Pantas
Nazrin
Pada tahun lepas, kami telah mengulas tentang komputer riba Acer Swift 14 AI. komputer riba nipis dan ringan keluaran Acer yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Lunar Lake yang pada kami adalah diantara yang terbaik dari segi prestasi dan jangkahayat bateri untuk sebuah komputer riba Intel+Windows.

Bersempena dengan acara COMPUTEX Taipei yang akan berlangsung pada minggu hadapan, kami telah berpeluang untuk melihat sejumlah komputer riba yang akan diperkenalkan di acara tersebut, dimana salah satu daripadanya ialah Acer Swift Edge 14 AI.
Rekaan
Diantara perubahan pertama yang anda mungkin akan sedar tentang Acer Swift Edge 14 AI ini ialah ia tampil dengan rekaan penutup paparan yang mempunyai corak yang lebih moden dan bergaya, dengan nama model Acer Swift terpampang di bahagian bucu sisi paparan.

Acer mengatakan ia adalah kerana Acer mahu memasarkan komputer riba ini kepada golongan yang lebih muda. Dimana Acer Swift 14 AI dilihat hadir dengan rekaan biasa yang tidak mempunyai sebarang rekaan yang unik.

Selain daripada itu, Acer Swift Edge 14 AI juga dilihat hadir dengan pilihan berwarna putih yang cukup menarik sekali. Ia juga akan hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2K. Ia juga memperlihatkan engsel yang membolehkan paparan ditolak sehingga 180 darjah, dan menurut Acer, ini adalah untuk tujuan kolaborasi dengan rakan sekerja yang lain.
Satu lagi ciri unik pada Acer Swift Edge 14 AI ialah ia datang dengan berat yang sangat ringan sekali. Buat masa ini, Acer masih belum memberi angka yang tepat lagi, tetapi telah mengatakan bahawa beratnya diukur seringan kurang dari 1KG.

Saya berkesempatan untuk mengangkat Acer Swift Edge 14 AI ini, dan benar, ia rasa lebih ringan berbanding dengan Acer Swift 14 AI yang saya gunakan sekarang.
Spesifikasi
Dari segi spesifikasi dalaman, Acer Swift Edge 14 AI hadir dengan komponen sama seperti apa yang ditawarkan pada Acer Swift 14 AI. Ia akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Lunar Lake, dan model yang saya lihat pada acara previu awal ini dikuasakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V yang tampil dengan memori 32GB dan storan SSD 1TB.

Dari segi pilihan palam, Acer Swift Edge 14 AI dilengkapi dengan dua palam USB Type-C Thunderbolt, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam audio 3.5mm. Ia juga tampil dengan sokongan untuk sambungan rangkaian WiFi7 yang terpantas di pasaran.

Buat masa ini, saiz bateri komputer riba tidak diketahui lagi, tetapi kami juga diberitahu bahawa satu pengecasan penuh secara teknikalnya boleh bertahan sehingga 22 jam, dan berdasarkan ini, bateri Acer Swift Edge 14 AI ini mungkin adalah sekitar 60-70Wh.
Penutup
Dari segi spesifikasi, prestasi model Swift Edge 14 AI yang baru ini sama sahaja seperti penawaran sebelum ini, tetapi dengan rekaan dan corak yang sedikit berbeza.

Sebagai pengguna sebuah komputer riba Acer Swift 14 AI, saya akan mengaku bahawa saya sangat mahukan komputer riba Acer Swift Edge 14 AI kerana betapa ringannya komputer riba ini. Keputusan Acer untuk melancarkan komputer riba ini cukup menarik khususnya apabila mereka sendiri mengatakan bahawa mereka mahu menarik lebih ramai lagi pengguna muda.

Walaupun begitu, jika anda masih di atas pagar dan sedang berfikir jika ia berbaloi untuk membeli sebuah komputer riba Intel Lunar Lake, mungkin Acer Swift Edge 14 AI ini sesuai untuk anda.
Kami jangkakan bahawa Acer akan mmengumumkan lebih banyak butiran mengenai komputer riba ini, khususnya tarikh dan harga jualannya untuk pasaran Malaysia kelak.