MV-75 Ialah Nama Baharu Untuk Bell V-280 Valor
Effi Saharudin
Tentera Darat Amerika Syarikat secara rasmi menggunakan nama baharu Bell MV-75 untuk pesawat terbang menegak Bell V-280 Valor yang memenangi kontrak FLRAA pada tahun 2022. MV-75 ialah pesawat yang akan mengambil alih tugas helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk dan Boeing CH-47 Chinook yang digunakan sekarang.

Penggunaan singkatan MV ialah unik kerana ia adalah gabungan “M” untuk multi misi dan “V” pula ialag untuk pesawat yang boleh melakukan penerbangan serta pendaratan secara menegak. Nombor 75 pula dipilih sempena tahun tentera darat Amerika Syarikat ditubuhkan pada tahun 1775. Pesawat ini mampu melakukan penerbangan menegak seperti Bell Boeing V-22 Osprey yang sudah beroperasi dengan pasukan Marin sejak 2007.
V-22 mempunyai reputasi buruk dengan 16 pesawat telah terhempas melibatkan 62 kematian. MH-75 dilengkapi beberapa penambahbaikan untuk mengelakkan isu ini serta boleh terbang pada kelajuan lebih pantas. Pesawat sayap sendeng seperti MH-75 boleh menggabungkan kemampuan helikopter dengan pesawat biasa yang diperlukan untuk misi ketenteraan Amerika di masa hadapan.