Ulasan Sony WH-1000XM6 – MMMMMMantap!
Effi Saharudin
Sony WH-1000XM6 (XM6) telah dilancarkan di Malaysia dua minggu lalu dengan ia adalah fon kepala yang amat dinantikan kerana XM5 sudah tiga tahun dilancarkan. Ya sudah tiga putaran matahari siri XM tidak dikemaskini sedangkan pernah suatu ketika ia dilakukan setahun sekali. Dengan Sony diberikan tiga tahun untuk mengumpul maklum balas dan menghasilkan model lebih baik, gembira saya katakan pada anda XM6 memang MMMMMMantap. Baca ulasan ini untuk membaca mengapa saya katakan begini.

Spesifikasi
| Sony WH-1000XM6 | |
|---|---|
| Jenis | Fon telinga belakang tertutup |
| Pemandu | 30mm Neodymium |
| Mikrofon | 12 mikrofon |
| Bateri | 30 Jam ANC/40 jam tanpa ANC |
| Port pengecas | USB-C |
| Pengecasan nirwayar | Tiada |
| CODEC | AAC, SBC,LDAC, LC3 |
| Sistem operasi disokong | Semua |
| Sokongan pembantu maya | Ya/Assistant dan Alexa |
| Pad Kawalan | Ya/ 1 pad sesentuh |
| Kemampuan kalis air | Tidak |
| Harga Jualan | RM 2099 |
Rekaan Lebih Ergonomik

XM5 lima tahu lalu mempunyai rekaan yang baik tetapi terdapat kekurangan di mana span di bahagian atas kepala ada nipis menyebabkan terasa tekanan jika fon kepala dipakai untuk tempoh yang lama. Pada XM6 span bahagian atas kepala adalah lebih tebal menjadikannya selesa dipakai untuk tempoh yang lama.

Perubahan bukan sekadar pada keselesaan tetapi juga pada ergonomik. Span pada angkup kepala XM6 mempunyai rekaan asimetri bagi memudahkan pemilik membezakan cawan telinga kanan dengan cawan telinga kiri tanpa perlu lagi mencari logo “R” berwarna merah untuk cawan telinga kanan. Sony berjaya menyelesaikan isu setiap fon kepala yang kadang kala dipakai terbalik.
Angkup kepala masih lagi selesa walaupun XM6 terasa lebih ketat di kepala. Ini kerana cawan telinga lebih melengkung ke dalam untuk mengikut kontur muka manusia. Ia bukan sahaja menjadikan pemakaian lebih selesa tetapi juga membuatkan cawan telinga melekap lebih kedap di muka memastikan ANC berfungsi dengan lebih baik menghalang audio luar.

Perubahan akhir terletak pada butang kuasa yang kini lebih besar dan berbentuk bulat. Dengan ini senang jari membezakannya dengan butang ANC. Satu lagi isu sejak XM1 diselesaikan dengan meminjam elemen rekaan Sony ULT Wear.

Dalam ulasan XM5, saya merungut kehilangan ciri yang wujud di XM4. Selama tiga tahun saya bersabar dengan pilihan Sony ini kerana setiap kali menaiki kapal terbang, XM5 mengambil ruang besar dalam beg. XM6 menyelesaikan isu besar ini dengan mengembalikan kemampuan kedua-dua cawan telinga dilipat.

Terdapat engsel logam pada mekanisme lipatan bagi mengelakkan kerisauan bahagian boleh lipat ini mudah patah. Saya bukan manusia ganas dan tidak menguji betapa kuatnya engsel baharu ini. Yang saya sedari proses melipat cawan telinga terasa lebih keras berbanding di XM4. Rasa lebih yakin rekaan baharu ini cukup tahan lasak.

Lengan boleh laras angkup telinga juga terasa lebih keras. Maka saya rasakan tiada isu mencari saiz paling tepat untuk disesuaikan dengan kepala pemilik. Saya mengulas XM6 berwarna biru gelap dan gelang logam yang digunakan pada engsel tidak nampak terlalu ketara seperti emas pada model berwarna kelabu cair. Saya lebih sukakan rekaan lebih stealth ini kerana ianya nampak lebih segak dan sekata.
Cuma satu perkara negatif ingin saya nyatakan mengenai model biru ini iaitu ia terlalu mudah kotor. Selepas seminggu minyak pada jari melekat pada cawan telinga dan ia sukar dibersihkan. Saya tidak dapat mengulas model berwarna hitam tetapi model berwarna kelabu batu yang diulas oleh Nextrift mempunyai kemasan kasar yang tidak mudah kotor. Ini ialah kemasan sama seperti pada XM5.
Bekas Simpanan Kecil Bermangnet

Evolusi besar lain pada XM6 terletak pada beg simpanan yang lebih kecil, bermagnet dan mempunyai poket yang lebih baik rekaannya. Dengan XM6 boleh dilipat, beg simpanan kini sekitar 30% lebih kecil dengan penutup dibuka ke sisi dan bukan ke bawah. Saiznya masih sedikit lebih besar berbanding beg simpanan XM4. Tetapi ini akan mengurangkan ruang yang diambil di dalam beg dan memudahkannya dimasukkan ke dalam poket kerusi kapal terbang. Sepanjang tiga tahan ini puluhan kali saya mengeluh XM5 mengambil ruang terlalu besar dalam beg.

Bahagian penutup pula mempunyai satu lidah besar bermangnet yang menguncinya dengan rapi. Ini ialah perubahan rekaan tahap Einstein dilakukan Sony kerana dengan cepat XM6 boleh dikeluarkan dan disimpan semula berbanding model terdahulu.
Poket untuk kabel 3.5mm dan pengecas USB-C pula tidal lagi tertutup serta diperbuat daripada bahan elastik. Ini juga memudahkan akses kedua-duanya dikeluarkan dan disimpan semula. Jangan terkejut jika pengeluar fon kepala lain akan “mengambil inspirasi” daripada beg simpanan XM6 selepas ini kerana ia memang praktikal.
Audio – Ini Yang Dimahukan

Audio lebih baik macam mana? Pertama kali saya mulakan dengan penafian saya bukan seorang audiophole dengan telinga Rick Beato yang boleh membezakan nota muzik dengan mudah. Saya rasakan peningkatan audio XM6 berbanding XM5 terletak pada keperincian, pemisahan, bass dan pementasan audio.
Keperincian di mana lebih banyak instrumen dapat didengari dengan lebih jelas. Saya menguji XM6 dengan No Surprises oleh Alice in Chains. Petikan bass Mike Inez dapat dibezakan dengan bunyi drum bass Sean Kinney. Ketukan hi-hat Sean Kinney juga lebih jelas dan menembusi lapisan vokal dan gitar. Ini pengalaman yang tidak saya nikmati pada fon kepala lain yang pernah diuji.

Perbezaan kriteria sonik XM6 lebih jelas jika anda peminat muzik Live. Saya kemudiannya mendengar Glory Box oleh Portishead daripada album Live in Rosaland. Vokal Dave Gibbon jelas dan tajam dengan muzik lain tidak menenggelamkan vokal lo-fi beliau. Bass lebih terkawal dengan ia tidak menerjah telinga dan menyebabkan instrumen lain tidak dapat didengari. Bass dan mid tahun ini menunjukkan perbezaan paling ketara berbanding model terdahulu. Jika selama ini anda merasakan fon kepala Sony terlalu bassy, isu ini tidak berterusan pada XM6.
ANC Lebih Baik
Jika anda ke lapangan terbang sekarang, sila kira berapa kali anda melihat varian Sony XM di kelapa penumpang. Berdasarkan pengalaman peribadi, lebih separuh akan menggunakan siri XM dengan selebihnya ialah siri Bose Quiet Comfort dan Apple iPod Max. Ini kerana kekuatan siri XM telretak pada kemampuan ANC menghalang bunyi bising kabin kapal terbang daripada menerjah ke dalam telinga sepanjang penerbangan.

Sony memberi saya akses kepada 3 situasi paling lazim ANC digunakan iaitu dalam kapal terbang, dalam kereta api dan di jalanan. Ujian dilakukan menggunakan sistem audio panggung wayang supaya lebih realistik. Saya dapat mendengar perbezaan besar dalam kemampuan menghalang deruman monotoni enjin pesawat. Dalam ujian kereta api pula, bunyi klik-klak roda kereta api masih dapat didengari dengan sedikit sahaja lebih baik berbanding XM5. Malahan dalam ujian ini saya rasakan XM4 lebih berjaya meredam bunyi kereta api.
Dalam ujian akhir di jalanan, bunyi kereta berjalan serta hiruk pikuk bandar dapat dicantas sehingga terasa seperti berada dalam gelembung “nirbunyi” saya sendiri. ANC pada XM6 adalah lebih baik tidak dalam semua situasi tetapi penambahbaikan yang dilakukan dapat dirasakan. Jika anda memang cari fon kepala untuk digunakan dalam kapal terbang, XM6 ialah antara yang terbaik pernah saya uji.
Perisian

Aksesori audio moden perlu disokong dengan perisian yang juga moden. Pada XM6 adalah beberapa penambahbaikan yang amat kami hargai. Pertama sekali ialah mod tembus (Ambient Mode) yang paling realistik setanding dengan AirPods Max. Bila mod tembus diaktifkan, terasa seperti telinga tidak ditutup dengan fon kepala. Suara sendiri tidak lagi terasa seperti terhalang seperti di XM5.

Ciri Speak to Chat juga lebih baik dengan apabila diaktifkan, kelantangan audio diturunkan secara serta merta ke sekitar 5%. Kemudian selepas habis berbual, audio akan perlahan-lahan kembali ke tahap kelantangan asal. Tiada lagi isu terkejut audio pada tahap 0% dinaikkan ke 90%. Terdapat tetapan 5, 10 dan 15 saat untuk speak to chat.

Pengesanan fon kepala ditanggalkan juga kini lebih pantas. Tiada lagi sela sekitar setengah saat yang ada di XM5. Muzik juga disambungkan pada kepantasan yang sama apabila fon kepala dipasang semula. Ini ialah perubahan kecil yang membuatkan XM6 terasa lebih premium berbanding model XM terdahulu.
Sokongan Fast Pair disertakan dengan ini memudahkan proses tambatan kepada peranti Android dan selepas XM6 disambungkan kepada akaun Google pemilik, peranti Android lain yang dimiliki (termasuk Google TV) akan dapat disambungkan terus tanpa memasuki tetapan bluetooth yang melecehkan. XM6 kemudiannya boleh dijejak lokasi menggunakan Google Find Hub dengan ia boleh dicari menggunakan ciri Play Sound.
Bateri

XM6 boleh beroperasi sehingga 30 jam dalam mod ANC dan 40 jam tanpa ANC. Sama sahaja dengan XM5. Dengan teknologi berkembang pesat sejak tiga tahun lalu, saya kecewa dengan tiadanya sebarang peningkatan prestasi bateri. Kenapa bateri lebih besar tidak digunakan? JBL Tour One M3 misalnya boleh bertahan sehingga 40 jam dengan ANC dan 70 jam tanpa ANC. Perbezaan prestasi bateri yang sangatlah ketara.
Tetapi satu lagi perubahan kecil dengan impak besar ialah XM6 boleh digunakan sambil dicas. Saya pernah beberapa kali juga kehabisan bateri dalam kapal terbang dan ANC yang diperlukan untuk menghalang deruman enjin terus tidak berfungsi. XM5 yang saya gunakan tidak boleh digunakan sambil dicas. Maka fon telinga perlu digunakan sebagai pengganti sementara menunggu XM5 dicas.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Sony WH-1000XM6
- 1x Beg simpanan.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Kabel bicu audio 3.5mm
- 1x Manual.
- 1x Kad jaminan.
Kesimpulan
Beli Jika – Anda memang peminat siri Sony XM dan mahukan peningkatan prestasi audio, rekaan dan keselesaan yang walaupun tidaklah begitu besar tetapi membawakan pengalaman audio yang lebih memuaskan. Jika anda kini menggunakan XM4 dan ke bawah, model ini adalah seperti langit dan bumi dengan model lama.
Jangan Beli Jika – Anda sekadar menstrim lagu pada kualiti sederhana atau lebih banyak mendengar lagu rock dengan dentuman bass yang kuat. Sony ULT Wear ialah pilihan lebih serasi pada harga lebih mampu milik. Di Malaysia Sony WH-1000XM6 dijual pada harga RM2099 dan ini adalah lebih mahal berbanding XM5 yang dijual pada harga RM1799 tiga tahun lalu.

Pro
- Rekaan baharu ergonomik, selesa dan cantik.
- Kembali boleh dilipat.
- ANC terbaik dalam siri dan mod tembus amat semula jadi.
- Hayat bateri yang baik.
- Sokongan sambungan kabel 3.5mm.
- Bekas simpanan bermangnet lebih mudah dibuka.
Kontra
- Harga baharu lebih mahal berbanding XM5.
- Tiada peningkatakan hayat bateri.
- Kabel pengecas diberikan terlalu pendek.
- Model biru mudah kotor.
