Pandang Pertama Acer Nitro 16S AI Dan Acer Nitro V 16S AI – Pelanduk Dua Serupa
Nazrin
Adakah anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan spesifikasi berkuasa, tetapi pada harga yang lebih mampu milik, dan tidak kisah tentang spesifikasi sampingan seperti jenis paparan skrin ataupun sokongan palam dan sebagainya?

Bersempena dengan acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada minggu ini, Acer Malaysia telah memperlihatkan dua buah komputer dalam siri Acer Nitro, iaitu Acer Nitro 16S AI dan Acer V Nitro 16S AI.
Rekaan
Rekaan kedua-dua komputer riba Acer Nitro V 16S AI dan Acer Nitro 16S AI hampir memiripi antara satu sama lain. Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan nisbah paparan 16:10 dan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 180Hz.

Rangka kedua-dua komputer riba ini diperbuat daripada aluminum dan hadir dengan ketebalan senipis 19.9mm, dimana walaupun saiz komputer riba ini dilihat agak besar, ia masih boleh dibawa kemana-mana dengan mudah.
Dari segi penawaran palam, kedua-dua Acer Nitro 16S AI dan Nitro V 16S AI hadir dengan dua palam USB 4, tiga palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad MicroSD. Dalam pada itu, komputer-komputer riba ini juga menyokong teknologi sambungan internet nirwayar WiFi 6E.

Terdapat dua perbezaan diantara kedua-dua komputer riba ini, dan ia dapat diperlihatkan melalui rekabentuk bahagian belakang komputer riba ini, yang memperlihatkan “dahi” yang lebih besar pada Acer Nitro 16S berbanding apa yang ada pada Acer Nitro V 16S. Ini mungkin adalah kerana perbezaan dari segi penawaran komponen kad grafik diantara kedua-dua komputer riba ini.
Spesifikasi
Komputer-komputer riba ini dikuasakan oleh spesifikasi yang sama untuk hampir kesemua komponennya, kecuali satu. AMD Ryzen AI 9 365 ialah pilihan cip pemprosesan, dan digabungkan bersama-sama dengan 32GB memori DDR5 dengan storan SSD PCIe4 sebesar 2TB.

Dari segi kad grafik pula, Acer Nitro 16S AI dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA GeForce RTX 5070Ti, manakala Acer Nitro V 16S AI dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070. Perbezaan diantara kedua-dua kad grafik ini hadir dari segi jumlah teras CUDA yang digunakan (5888 pada RTX 5070 Ti, 4608 pada RTX 5070) dan memori (12GB pada RTX 5070 Ti, 8GB pada RTX 5070).








Perbezaan dari segi penawaran kad grafik ini dikatakan adalah mengapa terdapat sedikit perbezaan dari segi saiz tapak komputer riba Nitro 16S AI dan Nitro V 16S AI.

Kedua-dua komputer riba ini juga menggunakan sistem penyejukan empat paip haba dan dua kipas penyejukan yang sama, dimana Nitro 16S yang lebih berkuasa juga menggunakan cecair logam untuk mengalirkan haba dengan lebih cekap kepada sistem penyejukan dan kipas terbina.
Penutup
Sama seperti komputer riba Predator Helios Neo 14 AI, kedua-dua komputer riba Acer Nitro 16S AI dan Acer Nitro V 16S AI akan memasuki pasaran Malaysia kelak, dan kebarangkalian dengan spesifikasi yang sama seperti yang diperlihatkan.

Ia diharap bahawa komputer-komputer riba gaming Acer Nitro yang akan hadir ke pasaran Malaysia ini cukup berkuasa untuk digerakkan pada resolusi dan tetapan grafik yang hebat pada harga mampu milik.