Acer, Lenovo dan Dell Akan Mengeluarkan Superkomputer AI Peribadi NVIDIA DGX Spark dan DGX Station
Effi Saharudin
NVIDIA melancarkan superkomputer kecerdasan buatan (AI) peribadi NVIDIA DGX Spark dan NVIDIA DGX Station hari ini. Yang menjadikan dua produk ini menarik ialah ia akan dikeluarkan oleh Acer, ASUS, Dell Technologies, GIGABYTE, HP, Lenovo dan MSI untuk kegunaan saintis data dan penyelidik. Ini merupakan kesinambungan kepada Project DIGITS yang dilancarkan Januari lalu.

Seperti Project DIGITS, NVIDIA DGX Spark ialah superkomputer AI peribadi bersaiz kompak dilengkapi cip NVIDIA GB10 Grace Blackwell Superchip dengan kuasa pemprosesan AI sehingga 1 petaflop dan memori sebesar 128 GB. NVIDIA DGX Station pula dilengkapi cip NVIDIA GB300 Grace Blackwell Ultra Desktop Superchip dengan kuasa memproses sehingga 20 petaflop dan memori sebesar 784 GB.
DGX Spark akan ditawarkan Acer, ASUS, Dell Technologies, GIGABYTE, HP, Lenovo dan MSI bermula bulan Julai. DGX Station pula akan ditawarkan ASUS, Dell Technologies, GIGABYTE, HP dan MSI di penghujung tahun ini. Harga jualan dan rekabentuk yang bakal digunakan hanya akan diumumkan di Computex beberapa hari sahaja lagi.