Amerika Akan Membina “Kubah Emas” Menangkis Serangan Misil Berharga $175 Bilion
Effi Saharudin
Kubah emas ialah nama pencak dalam komik Dewata Raya oleh Tony Wong yang popular di dekad 90an dahulu. Ia boleh mengesampingkan serangan Encik Otot, Pelawak Tulang dan Presiden William Gates. Fiksyen komik Hong Kong ini menjadi realiti selepas projek Golden Dome diumumkan oleh Presiden Trump semalam untuk melindungi Amerika Syarikat daripada serangan Rusia dan China.

Sistem pertahanan Kubah Emas ini akan menelan belanja $175 bilion (~RM 744 bilion) dengan Trump ingin ia mula beroperasi sewal 2029 sebelum berakhirnya penggal beliau sebagai Presiden. Kerajaan Kanada juga menunjukkan minat untuk bekerjasama membangunkan sistem pengesanan pelancaran misil nuklear balistik antara benua menggunakan rangkaian satelit di angkasa.
Selain misil nuklear balistik antara benua, Kubah Emas juga direka untuk menangkis peluru berpandu, senjata hipersonik dan dron. Idea membangunkan sistem ini diilhamkan oleh sistem Iron Dome yang digunakan oleh Israel.

Walaupun Trump mengatakan kos sistem ini mencecah $175 bilion, penganalisa mengatakan kos operasi selama 20 tahun akan melebihi $800 bilion (~RM 3.4 trilion). Ini dilihat sebagai satu pembaziran sedangkan Trump bertanding menggunakan tiket mengurangkan pembaziran kerajaan bagi menjadikan Amerika hebat semula.
Antara syarikat yang mungkin menerima kontrak besar ialah Palantir, Anduril, L3Harris, Lockheed Martin, RTX Corp. Projek Kubah Emas ini adalah mirip program Strategic Defense Initiative (SDI), yang lebih dikenali sebagai Program Star Wars yang diumumkan Presiden Reagen pada tahun 1983. SDI tidak menjadi realiti kerana teknologi untuk rangkaian satelit pengesan misil dan sistem laser yang boleh menangkis serangan belum lagi wujud 42 tahun lalu.