Acer Memasuki Arena Gajet Bermula Dengan Cincin Pintar Acer FreeSense Ring
Nazrin
Di acara Computex Taipei yang berlangsung minggu ini, Acer telah mengumumkan bahawa mereka akan memasuki pasaran gajet tidak lama lagi, dan peranti pertama yang akan diperkenalkan dalam siri gajet baru ini merupakan cincin pintar pertama mereka yang dinamakan Acer FreeSense Ring.

Cincin pintar FreeSense Ring ini dilihat hadir dengan banyak, jika tidak semua ciri-ciri yang diperlihatkan oleh cincin pintar lain seperti Samsung Galaxy Ring dan Oura, dimana ia hadir dengan kebolehan untuk menjejak butiran kesihatan badan seperti degupan jantung, tekanan darah, kitaran tidur, aktiviti harian/sukan dan juga kitaran haid untuk wanita.

Dari segi penjejakan aktiviti, Acer mengatakan cincin ini akan menyokong penjejakan untuk sebanyak 24 jenis sukan apabila ia dilancarkan, dan tidak seperti cincin-cincin pintar lain di pasaran, Acer tidak akan mengenakan sebarang caj langganan untuk menggunakan khidmat penuh cincin ini, dan akan disokong pada platform peranti pintar Google Android dan Apple iOS tanpa masalah.

Dalam pada itu, Acer mengatakan bahawa cincin pintar FreeSense ini diperbuat daripada logam titanium sama seperti apa yang diperlihatkan pada cincin Samsung Galaxy Ring, dan akan hadir dalam tujuh saiz, dari 7 ke 13. Ia juga akan hadir dalam pilihan warna Rose Gold dengan warna kusam dan hitam dengan corak warna yang gilap.

Acer tidak mengumumkan lagi bilakah cincin pintar Acer FreeSense Smart Ring ini akan diperkenalkan, tetapi mengatakan bahawa ia akan hadir dengan tanda harga yang jauh lebih mampu milik berbanding dengan penawaran daripada pesaing sedia ada.