Pembersih Hampagas Dyson PencilVac Kelihatan Seperti Penyapu
Effi Saharudin
Pembersih hampagas dicipta bagi menggantikan penyapu dengan mesin pertama dicipta pada tahun 1860. Selepas 165 tahun, ia kini kembali kepada fitrahnya selepas Dyson PencilVac dilancarkan. Ia adalah pembersih hampagas nirwayar paling kompak dan ringan pernah dihasilkan oleh Dyson.

Motor elektrik, bateri dan tempat mengumpul debu PencilVac terletak di bahagian tangkai. Motor elektrik yang digunakan mempunyai kipas berdiameter 38mm sahaja. Motor yang sangat kecil untuk pembersih hampagas ini dibangunkan daripada motor yang digunakan pada pengering rambut Supersonic R dan Supersonic.

Ia turut menggunakan kepala pembersih baharu Fluffycones yang direka untuk tidak mempunyai masalah rambut terpintal. Buat pertama kalinya kepala pembersih Dyson mempunyai hujung berus yang terbuka menyelesaikan isu terlanggar dinding dan rambut yang terpintal akan tercabut sendiri apa sampai ke hujung. Engsel yang menyambungkan kepala pembersih dengan tangkai bergerak ke seluruh arah bagi memudahkan ia membersihkan ruang yang sukar dicapai.

Dengan rekaan seakan penyapu ini, PencilVac hanya sebesar 1.8 kg memudahkan ia digunakan untuk membersihkan tempat tinggi. Debu yang disedut juga disimpan di dalam tangkai dengan pengguna hanya perlu menolaknya ke hadapan untuk mengosongkannya apabila penuh. Yang sedikit merisaukan ruang simpanan hanya mempunyai kapasiti 0.08L berbanding 0.35 L pada V12s Detect Slim.
Bateri boleh bertahan sehingga 30 minit dengan bateri boleh ditanggalkan untuk digantikan dengan bateri baharu. Terdapat dermaga pengecas merangkap tempat simpanan dan satu bateri tambahan. Dyson PencilVac hanya dijual di Jepun ketika ini pada harga ¥84,920 (~RM 2518) sebatang.