Rekaan Samsung Galaxy Watch8 Classic Tertiris
Effi Saharudin
Siri Samsung Galaxy Watch8 akan dilancarkan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi bersama dengan Galaxy Z Fold7 dan Galaxy Z Flip7. Kami telah laporkan sebelum ini siri Watch8 akan menggunakan rekaan Watch Ultra serta mengembalikan bezel berputar pada Galaxy Watch8 Classic. Hari ini rekaan sebenar jam tangan ini tertiris menerusi imej pengolokan yang dijana menggunakan lukisan CAD oleh OnLeaks dan SammyGuru.

Tubuh Galaxy Watch8 Classic berbentuk kotak dengan bucu dibulatkan dan skrin pula berbentuk bulat. Bezel berputar dengan gerigi dan tiga butang sisi dalam dilihat. Butang tengah yang mengaktifkan penggera kecemasan dan aktiviti pantas menggunakan warna oren seperti di Watch Ultra.
Sistem menanggalkan tali jam dengan hanya satu butang turut dikekalkan. Tali adalah dari jenis fluoroelastomer yang kerap digunakan kerana ia tidak menyebabkan radang dan selesa pada kulit tangan. Selain model ini, Galaxy Watch8 juga akan dilancarkan tanpa bezel berputar. Tiada kemas kini untuk Watch Ultra dijangkakan tahun ini.