Realme GT7 Dream Edition Dijual Di Malaysia Pada Harga RM2,999
Amy Maizuraa
Realme turut memperkenalkan edisi istimewa melalui model GT7 Dream Edition yang dihasilkan dengan kerjasama pasukan Aston Martin Formula One. Pada masa yang sama, ia adalah telefon pintar pertama di dunia yang bekerjasama dengan AMF1 menjadikannya unik dan eksklusif.


Peranti ini hadir dengan warna ikonik Aston Martin Racing Green, reka bentuk garisan aerodinamik yang elegan, serta lambang sayap perak terukir yang melambangkan kelajuan dan kemewahan. Selain itu, kotak edisi koleksi eksklusif disertakan akan dilengkapi dengan kerangka khas Silver Wing serta pin kad SIM berbentuk kereta lumba F1 yang memberikan sentuhan unik yang menonjolkan identiti jenama masing-masing.


Realme GT7 Dream Edition masih mengekalkan spesifikasi seperti versi standard. Ia mempunyai skrin LTPO AMOLED 6.78 inci, kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak 6000 nits dengan sokongan HDR10+ serta Dolby Vision. Peranti ini dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9400e, bersama 16GB RAM dan storan dalaman 512GB storan. Ia menjalankan Realme UI 6.0 berasaskan Android 15 serta dilengkapi dengan pelbagai ciri AI untuk pengalaman penggunaan yang lebih pintar.

Sistem kameranya terdiri daripada 50MP utama + 50MP telefoto + 8MP ultra-lebar, manakala kamera hadapan 32MP dengan autofokus. Peranti ini juga dilengkapi dengan bateri karbon silikon 7000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W, serta ciri tambahan seperti pembesar suara stereo, NFC, sensor inframerah, dan penarafan kalis air IP68/IP69 untuk ketahanan lebih baik.

Bagi yang berminat, Realme GT7 Dream Edition hadir dalam warna Aston Martin Racing Green dan ditawarkan pada harga RM2,999 (16GB/512GB). Pembelian turut disertakan dengan hadiah bernilai hingga RM997 termasuk jaminan lanjutan selama satu tahun, serta jaminan retak skrin selama satu tahun. Tawaran ini berlangsung dari 31 Mei hingga 30 Jun 2025 dengan unit yang terhad.