Soundcore Liberty 5 Dilancarkan Di Malaysia – Harga Bermula RM329
Nur Amzari
Nama Soundcore iaitu sub jenama Anker bukan lagi satu nama yang asing sekarang dengan penawaran produk audio yang berkualiti pada harga yang berbaloi. Hari ini, Soundcore telah melancarkan fon telinga terbaru mereka iaitu Soundcore Liberty 5 yang dipasarkan sebagai TWS dengan sokongan LDAC dan menghilangkan hingar mampu milik.

Soundcore Liberty 5 ini hadir dengan pelbagai ciri yang menarik seperti Adaptive Active Noise Cancelling 3.0 yang mampu mengurangkan bunyi persekitaran dengan lebih cekap. Selain itu, Liberty 5 ini juga mempunyai ciri Transparency Mode yang lebih baik dengan dua mikrofon yang telah dinaik taraf untuk mendengar keadaan sekeliling seakan tidak memakai fon telinga.

Dari segi kualiti audio Liberty 5 ini mempunyai sokongan Dolby Audio dengan pemacu 9.2mm Wool-Paper Diaphragm. Ia turut hadir dengan sokongan LDAC untuk kualiti audio nirwayar yang terbaik. Liberty 5 ini boleh bertahan sehingga 12 jam penggunaan dan sehingga 48 jam dengan pod pengecasan. Bercakap mengenai pod pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas 10 minit untuk 5 jam penggunaan dan turut menyokong pengecasan nirwayar.

Untuk ketahanan, Liberty 5 didatangkan dengan ciri kalis air dan debu IP55 jadi tiada masalah untuk anda menggunakannya ketika sesi bersukan. Fon telinga ini boleh digunakan bersama aplikasi Soundcore sendiri untuk mengubah bunyi mengikut kesukaan pengguna. Liberty 5 menggunakan sambungan Bluetooth 5.4 dan boleh disambungkan pada dua peranti yang berbeza. Ia juga datang dengan ciri Google Fast Pair untuk sambungan dengan lebih cepat dan mudah.
Soundcore Liberty 5 ini ditawarkan pada harga RM399 dengan beberapa pilihan warna seperti hitam, putih, biru laut dan aprikot. Untuk tempoh promosi 27 Mei hingga 19 Jun, ia ditawarkan pada harga RM329 sahaja.
