Amerika Syarikat Gantung Permohonan Visa Pelajar Antarabangsa – Akaun Media Sosial Akan Disemak
Effi Saharudin
Adakah anda ingin meneruskan pelajaran di Amerika Syarikat tahun ini? Berita buruk bagi anda pagi ini kerana pentadbiran Trump telah menggantung semua sesi temubual pelajar yang ingin memohon visa bagi meneruskan pelajaran di Amerika Syarikat.
Pelajar yang ingin memohon visa jenis F, M, dan J akan terkesan berikut arahan yang baru dikeluarkan semalam. Selain itu kandungan akaun media sosial pelajar yang melakukan permohonan visa juga akan disemak terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Presiden Trump minggu lalu menarik kebenaran Harvard University untuk mengambil pelajar luar negara. Pelajar sedia ada pula tidak dibenarkan meneruskan pengajian. Arahan Trump ini kemudiannya dihalang oleh hakim kerana ia jelas melanggar hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan.
Trump dipetik mengatakan pelajar luar negara “tidak mesra dengan Amerika Syarikat” dan “tidak membayar apa-apa untuk pendidikan pelajar mereka.” Sementara itu Setiausaha KDN Kristi Noem pula mengatakan “Harvard memupuk keganasan, antisemitisme, dan bekerjasama dengan Parti Komunis China di kampusnya”.
Dengan membatalkan terus sesi temubual pelajar antarabangsa di semua kedutaan, pentadbiran Trump dapat memintas keputusan mahkamah yang memihak dengan Harvard.
Insiden 7 Oktober 2023 menjadi pencetus beberapa demo besar-besaran anti Israel oleh pelajar di beberapa universiti utama Amerika Syarikat. Demo meminta keganasan ZIonis ditamatkan segera bukan sahaja dicemuh pentadbiran Trump tetapi juga Biden yang memberikan sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Sebagai sebuah negara yang sering mendabik data memperjuangkan kebebasan pelajar Iran dan China berdemo menentang kebathilan, Amerika Syarikat kini meludah ke muka sendiri.
[sumber] The Guardian [/sumber]