CLEAResult Memperkenalkan Penilaian 80 PLUS Ruby Untuk Bekalan Kuasa Pusat Data
Nazrin
Apabila anda membeli bekalan kuasa untuk membina komputer desktop, salah satu aspek yang secara lazimnya akan diperlihatkan, selain daripada keperluan tenaga elektrik yang boleh dibekalkan ialah kecekapan bekalan kuasa tersebut.

Perkara ini secara lazimnya diperlihatkan pada penilaian 80 PLUS, iaitu sebuah piawaian kecekapan yang dikelola oleh CLEAResult, yang digunakan sehingga kini. Secara ringkasnya, untuk menerima penilaian 80 PLUS ini, sebuah bekalan kuasa perlu memperlihatkan kecekapan output sekurang-kurangnya 80 peratus pada 20 peratus, 50 peratus dan 100 peratus nilai beban bekalan kuasa tersebut.
Penilaian yang diperlihatkan termasuklah 80 PLUS Bronze, Silver, Gold, Platinum dan Titanium, yang memperlihatkan nilai kecekapan yang semakin tinggi, melangkaui 80 peratus. Terkini, CLEAResult telah memperlihatkan penilaian baru 80 PLUS Ruby.

Penilaian piawaian 80 PLUS Ruby merupakan penilaian yang paling ketat untuk sebuah bekalan kuasa, kerana nilai kecekapan yang diperlukan untuk setiap peratusan nilai beban sesebuah bekalan kuasa perlu lebih tinggi daripada 90 peratus. Mereka juga menerangkan bahawa penilaian ini akan digunakan untuk bekalan kuasa untuk pusat data awan dan AI.