OnePlus AI Diperkenalkan Dengan Ciri Pintar Baharu Termasuk Plus Key
Amy Maizuraa
OnePlus telah mengumumkan OnePlus AI iaitu sejumlah ciri baharu berasaskan kecerdasan buatan yang akan digunakan bersama OnePlus 13s. Ciri-ciri ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan teknologi yang lebih pintar dalam ekosistem OnePlus.

Ciri utama yang diperkenalkan termasuklah Plus Key, iaitu butang yang menggantikan Alert Slider dan membolehkan pengguna menetapkan pelbagai fungsi. Antaranya seperti membuka kamera, menukar profil audio, serta mengaktifkan ciri terjemahan bagi memudahkan komunikasi.

Selain itu, AI Plus Mind membolehkan pengguna menyimpan dan menyusun maklumat daripada skrin dengan lebih mudah. Ia turut berfungsi untuk menganalisis kandungan yang disimpan kemudian menghubungnya secara automatik dengan aplikasi seperti kalendar. Dengan ini, pengguna dapat mengurus maklumat dengan lebih teratur dan efisien.
Ia juga mengingatkan saya kepada AI Planner, yang ditawarkan dalam peranti baharu Realme. Ciri ini berfungsi sebagai alat bantu pintar untuk mengurus maklumat dan menjadualkan tugas, sekaligus bantu pengguna merancang aktiviti harian dengan lebih sistematik.

Selain itu, AI VoiceScribe berfungsi untuk merakam, meringkaskan, dan menterjemah panggilan dalam aplikasi pemesejan serta video. Sementara itu, AI Call Assistant yang eksklusif untuk India menawarkan terjemahan dan ringkasan panggilan dalam masa nyata melalui ruang pemanggil OnePlus. Di samping itu, AI Translation pula aplikasi terjemahan yang menggabungkan teks, suara, kamera, dan terjemahan skrin dalam satu platform.

AI Search membolehkan pengguna membuat pertanyaan menggunakan gaya pertuturan biasa berfungsi bersama AI Plus Mind untuk mendapatkan maklumat dengan lebih cekap. Selain itu, AI Reframe boleh memberi cadangan susunan semula bagi foto berdasarkan komposisi imej. Sementara itu, AI Best Face 2.0 bantu meningkatkan kualiti foto berkumpulan dengan membaiki mata tertutup atau ekspresi yang kurang baik.
OnePlus turut memperkenalkan Private Computing Cloud (PCC), yang menyokong pemprosesan data dalam peranti serta storan awanan yang disulitkan untuk memastikan keselamatan maklumat pengguna.