Mantan Mufti WP Memperkenalkan Ustaz Dan Ustazah AI Untuk Membantu Menjawab Kemusykilan Agama
Nazrin
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini telah memperkenalkan dua pembantu AI yang dibangunkan oleh pasukan beliau untuk membantu dalam menjawab kemusykilan berkaitan agama Islam.
Kedua-dua pembantu AI Pegawai Pintar Syariah ini dinamakan AI Dr. Munir dan AI Dr. Munirah, dan telah dibangunkan menggunakan model bahasaraya dengan kerjasama Hedra Studio yang membantu dalam memberikan pembantu-pembantu AI ini sentuhan tempatan.
Kedua-dua pembantu AI ini dibangunkan untuk membantu menjawab kemusykilan tentang agama Islam dan juga boleh merumuskan jawapan kepada lebih daripada 9000 soalan berkaitan hukum semasa, fatwa kontemporari, dan isu fiqh masyarakat yang ada dalam pengkalan data aplikasi Al-Inarah.
Dr. Zulkifli juga mengatakan bahawa jawapan-jawapan yang diberikan oleh mereka adalah bersandarkan pendirian persendirian dan profesional beliau berkaitan hal-ehwal agama.
Buat masa ini, kandungan yang akan dihasilkan oleh kedua dua AI Dr. Munir dan AI Dr. Munirah dapat dilihat di akaun TikTok Maktabah Al-Bakri, yang mana video pertamanya adalah berkaitan hukum menunaikan permintaan isteri yang mengidam.