Infinix AI Buds Tersedia Di Malaysia Pada Harga RM399
Amy Maizuraa
Infinix memperkenalkan AI Buds di Malaysia iaitu fon telinga jenis in-ear yang dilengkapi dengan pod pengecas berskrin sesentuh terbina. Skrin ini boleh memaparkan masa, kawalan main balik muzik, pelarasan audio, pembatalan bunyi, akses kamera, dan pelbagai fungsi lain.

Fon telinga ini boleh menterjemah secara langsung dalam 162 bahasa dan turut dilengkapi dengan Conversation Translation bagi membolehkan pengguna berbual dengan lebih lancar dalam pelbagai bahasa. Selain itu, AI Dual Noise Cancellation bantu meningkatkan kejelasan panggilan walaupun dalam persekitaran yang bising. Ia menawarkan tiga mod pembatalan bunyi yang boleh dipilih iaitu Noise Reduction, Permeability Mode dan Game Mode bagi menyesuaikan pengalaman audio mengikut keperluan pengguna.

Pengguna turut boleh menyeru pembantu maya Folax bagi kawalan suara tanpa sentuhan dengan hanya berkata “Hi Folax”. Pembantu suara ini bagaimanapun akan diperkenalkan melalui kemas kini OTA akan datang. Fon telinga ini menyokong tambatan pantas melalui Bluetooth 5.4 untuk sambungan yang stabil. Dengan bateri berkapasiti 620mAh, ia boleh digunakan sehingga 36 jam.
Bagi yang berminat, Infinix AI Buds dijual pada harga RM399.