TCL Membuka Kedai Jenama Pertama Di Sunway Pyramid
Nazrin
TCL ialah sebuah syarikat jenama elektronik dari China yang terkenal untuk penawaran perkakasan-perkakasan elektrik dan elektronik mereka, khususnya televisyen. Tetapi tahukah anda bahawa TCL juga menjual produk-produk lain seperti peti sejuk, mesin basuh dan alat penghawa dingin?

Hari ini, TCL telah membuka kedai jenama (brand store) pertama mereka di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, bertempat di tingkat satu, bersebelahan kedai elektronik Sony dan bertentangan dengan kedai peranti pintar Vivo.

Kedai jenama TCL dibuka oleh Vivid Concepts, sebuah syarikat pengedar peranti dan aksesori elektronik dan kelengkapan elektrik tempatan, dan mereka sudahpun memulakan pelan untuk membuka kedai jenama TCL kedua di IOI Mall Puchong pada 7 Ogos 2025.
Tujuan membuka kedai jenama ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenama TCL sebagai sebuah jenama perkakasan elektrik yang dipercayai di Malaysia. Pada awal tahun ini juga, TCL telah mengumumkan bahawa mereka menjadi rakan jenama untuk temasya sukan Olimpik dan Paralimpik dalam kategori peralatan audiovisual dan rumah.

Bersempena dengan acara pembukaan kedai jenama ini, TCL juga memperkenalkan diskaun untuk sejumlah perkakasan-perkakasan yang dijual mereka bermula hari ini, 30 Mei 2025 sehingga hari Ahad ini, 2 Jun 2025.

Diantara produk-produk yang memperlihatkan potongan harga adalah seperti televisyen TCL P655 4K UHD TV pada harga RM999, penghawa dingin TCL pada harga RM799 dan mesin basuh dan pengering pakaian pada harga RM1499.