Pemanduan Pertama Smart #5 Brabus – eSUV Mercu Yang Lincah dan Pantas
Ikhwan Nazri
Smart Malaysia menerusi PRO-Net baru-baru ini telah membuka pendaftaran minat untuk Smart #5 dan di acara Malaysia Auto Show, mereka telah mempamerkan Smart #5 Summit Edition, iaitu Smart #5 yang dibangunkan untuk kegunaan rekreasi. Jika dikirakan, dari mula-mula kereta elektrik Smart #1 diperkenalkan adalah pada tahun lepas sahaja jadi Smart #5 ini bakal menjadi kereta elektrik mercu mereka untuk tahun ini yang pasti dinantikan ramai.

Ini kerana pasaran kereta elektrik di Malaysia semakin hangat diperkatakan dan dilihat permintaan juga bertambah, seiring dengan pelbagai pengenalan produk baru. Minggu ini saya berkesempatan untuk hadir ke acara pandu uji Smart #5 Brabus di Portugal, dan dibawa menelusuri jalan raya Portugal yang indah dan juga mencabar.
Rekaan Luaran Dalaman
Dimulakan dengan bahagian luaran, rekaan Smart #5 ini boleh dikatakan jauh berbeza dengan Smart #1 dan Smart #3. Persamaan antara #1 dan #3 anda boleh lihat dengan jelas menerusi rekaan lampu hadapan yang tidak jauh berbeza, lampu belakang juga tidak jauh berbeza dan bentuk secara keseluruhan yang dilihat banyak lengkungan, tidak berkotak seperti #5. Rekaan #5 boleh dikatakan terus menjauhi dari elemen-elemen rekaan #1 dan #3 namun begitu boleh juga dikatakan rekaan #5 ini kembali menyerupai elemen-elemen sama pada kereta Smart sebelum ini iaitu smart forTwo dan Smart forFour.


Lampu hadapan CyberSparks LED nya tampak berbeza dari versi sebelumnya dan dilengkapi dengan lampu tinggi automatik. Terdapat lampu seolah-olah garisan terputus, yang juga sama ditempatkan di bahagian belakang kenderaan, bagi fungsi pencahayaan siang (Day Running Lights). Dan untuk versi Brabus ini, terdapat lencana Brabus pada bahagian bawah bumper hadapan di sebelah kiri pemandu dengan sentuhan warna merah bagi membezakan versi ini dengan lain.

Tayar yang digunakan adalah Continental 255/40 R21 dengan label EV menandakan tayar ini dicipta untuk kegunaan EV. Rim 21-inci Monoblock Z Alloy yang bergaya turut menyerlahkan angkup brek berwarna merah. Diteruskan dengan bahagian pintu yang mempunyai label Brabus di bahagian bawah, dan juga dibahagian belakang. Ia mempunyai bonet yang boleh dibuka secara automatik dan fungsi ini tersedia untuk kesemua variasi.


Smart #5 ini diumumkan sehingga 6 variasi, iaitu Pro, Pro+, Pulse, Summit Edition, Premium dan juga Brabus. Perbezaan paling ketara adalah versi Pro hanya mempunyai bateri sebesar 76 kWh dengan jarak perjalanan 465km WLTP dan tidak mempunyai senibina pengecasan 400V menyebabkan pengecasan pantas 10-80% dalam masa 30 minit dan pengecasan AC 11kW, berbanding model lainnya yang mempunyai bateri bersaiz 100kWh dengan jarak perjalanan sekurang-kurangnya 500 KM WLTP dan juga senibina pengecasan 800V membolehkan pengecasan pantas 10-80% dalam masa 15 minit serta pengecasan AC 22 kW. Kemudian, ia juga dibezakan menerusi pilihan pacuan, dengan versi Pulse, Summit Edition, dan juga Brabus yang mempunyai pacuan kesemua tayar (AWD), manakala Pro/Pro+ dan juga Premium hanya mempunyai pacuan belakang (RWD).


Pilihan pacuan ini juga sedikit sebanyak memberikan kesan kepada ruangan storan but hadapan (frunk) kerana kesemua model yang menggunakan pacuan belakang, mempunyai saiz frunk yang lebih besar iaitu 72L, berbanding Smart #5 pacuan kesemua tayar yang membuatkan motor elektrik memakan ruang di bahagian hadapan, menjadikan saiz frunk sebesar 47L.
Meskipun begitu, ruangan storan belakang yang besar iaitu 630L dengan lantai yang boleh diubah membuatkan kami dengan mudah menyimpan 4 bagasi kabin, dan masih mempunyai ruang yang lebih. Sekiranya itu tidak mencukupi, terdapat suis yang boleh membaringkan tempat duduk belakang bagi mewujudkan ruang storan sebesar 1530L yang lebih besar, mampu menempatkan pelbagai barangan mahupun mewujudkan ruang untuk tidur ‘berkelah’ dengan kereta elektrik ini.


Untuk versi Premium dan juga Brabus, Smart #5 dilengkapi 20 pembesar suara Sennheiser yang sangat mengasyikkan, dan berupaya menghidupkan suasana anda yang mungkin berkelah dengan kenderaan elektrik ini. Manakan tidak, dengan paparan skrin OLED berkembar bersaiz bakal memberikan hiburan untuk pengguna, juga khas untuk penumpang hadapan.
Penumpang hadapan bebas menonton rancangan hiburan seperti Amazon Prime, bermain permainan, dan perpindahan aplikasi boleh dilakukan menerusi sentuhan tiga jari, dan menyeretkan kepada paparan berlainan. Terdapat satu panel di bawah konsol bahagian tengah yang menunjukkan logo AMD, dimana ia cip yang menguasakan sistem inforia, bersama-sama dua palam USB-C dan 12V.

Konsol tengah juga masih mengekalkan penyaman udara untuk kebuk simpanan yang besar, mampu menempatkan botol air. Sekiranya anda menyimpan air mahupun kudapan, suhu sejuk dapat dikekalkan pada kebuk simpanan ini. Kebuk ini boleh dibuka menerusi butang dan khas untuk Smart #5 Summit Edition, terdapat label khas tertera ‘Summit Edition’ yang tidak terdapat pada versi lain. Terdapat juga pengecas nirwayar untuk 2 telefon pintar.

Dari segi hiasan dalaman, baik versi apapun Smart #5 mengetengahkan rekaan tampak mahal dan menggunakan bahan berkualiti tinggi seperti kulit Alcantara untuk stereng pemanduan, tempat duduk DINAMICA, bahan mikrofiber di bahagian tiang dan bumbung yang juga menempatkan bumbung lutcahaya. Di bahagian pintu juga terdapat kemasan seakan kayu yang menempatkan pembesar suara Sennheiser, namun di bahagian pemegang pintu menggunakan bahan plastik, yang dirasakan sedikit berlainan dengan lain.
Ruang penumpang belakang juga dilihat memberikan keselesaan. Sepanjang proses mengulas ini saya juga duduk di bahagian belakang sewaktu rakan media yang lain mengambil giliran memandu. Bumbung lutcahaya memberikan perasaan yang luas, sama seperti ruang kaki. Terdapat dua palam pengecasan USB-C dengan satunya memberikan kuasa 60W, dan ini membolehkan pengecasan pantas untuk telefon pintar, juga komputer riba kecil seperti MacBook Air yang tidak memerlukan kuasa yang tinggi.

Terdapat tuil posisi tempat duduk pada bahagian pintu, dan khas untuk kerusi di belakang penumpang hadapan, terdapat suis bagi membolehkan kerusi penumpang hadapan digerakkan, dan dilipat bagi memberi lebih ruang kaki untuk penumpang belakang. Ini dilihat bagaikan fungsi eksekutif sekiranya anda membeli kenderaan ini untuk ‘dipandu’ orang lain.
Prestasi & Pemanduan
Smart #5 Brabus merupakan versi mercu dalam siri #5, dilengkapi dengan dua pacuan elektrik hadapan dan belakang dengan kuasa maksimum 475 kW dan tork maksimum 710 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai sepantas 3.8 saat, dan mempunyai kelajuan maksimum 210 km/j. Memandangkan ia menggunakan pacuan semua tayar, walaupun ia mempunyai bateri berkapasiti 100 kWh dengan jarak perjalanannya ialah sekitar 540 KM WLTP namun angka ini boleh dikatakan munasabah jika dikira dari nisbah saiz dan berat kereta, kepada jumlah bateri.

Dengan senibina pengecasan 800V, saya percaya pemilik kenderaan ini tidak akan risau akan waktu pengecasan kerana dengan kelajuan pengecasan maksimum 400 kW, ia membolehkan pengecasan 10-80% dicapai sepantas 18 minit. Buat masa ini di Malaysia tidak banyak lagi pengecasan 400 kW ditawarkan namun saya percaya ini hanyalah isu masa, dan kita mungkin dapat melihat lebih banyak pengecasan 400 kW akan ditawarkan dari masa ke semasa.
Sewaktu demonstrasi untuk mengecas Smart #5 Premium, pengecasan dari 7% – 79% hanya memakan masa selama 15 minit dan dapat dilihat kuasa pengecasan tertinggi dicapai adalah 426 kW, sebelum ia menurun.

Memandu kereta elektrik kelas D-SUV seberat 2 tan ini sepanjang jalan di Duoro Valley, Portugal merupakan satu pengalaman yang mengujakan. Ini kerana keseluruhan perjalanan sejauh 241 km ini meliputi jalan utama dan juga lebuhraya, dan kedua-dua jenis jalan ini turut memberikan peluang untuk saya merasai beza pemanduan dan prestasi.
Menelusuri jalan N222 yang juga dikatakan sebagai jalan terbaik di dunia, terdapat banyak selekoh tajam dan di sini kelajuan yang dipandu adalah sekitar 60-80 km/j. Dengan pacuan semua roda dan mod pemanduan Comfort yang dipilih, mengawal kereta ini adalah begitu mudah dan senang, dan tidak terasa berat, namun mungkin terasa besarnya saiz dan saya sedikit merasakan besarnya saiz kerana masih membiasakan memandu di sebelah kiri. Boleh dikatakan jalan yang dilalui ini bagaikan menelusuri selekoh tajam di sekitar Bukit Fraser, dengan perbezaan adalah kawasan persekitaran yang luas menghijau berbukit tanpa sebarang hutan belukar.

Membantu lagi pengalaman pemanduan adalah paparan realiti terimbuh yang hanya ditawarkan untuk versi Premium, Summit Edition dan Brabus yang memberikan informasi arah secara langsung mengikut topografi dan juga jalan raya, berbeza dengan paparan terimbuh biasa yang hanya memaparkan arah, dan tidak mempunyai animasi langsung bagi memberikan maklumat kepada pemandu. Terdapat juga paparan pemanduan bersaiz 10.25-inci yang boleh memaparkan peta penuh dan pelbagai maklumat semasa.

Apabila memasuki lebuhraya, saya dengan secepat mungkin menukar mod pemanduan kepada Brabus bagi mula memotong kenderaan yang lebih perlahan. Pecutan pantas dapat dicapai walaupun kenderaan sedang bergerak laju, dan dari kelajuan 110 km/j saya dapat memecut mencapai kelajuan 150 km/j sepantas beberapa saat, cukup sangat untuk memotong kenderaan hadapan sebelum kembali semula ke barisan tengah. Terdapat bunyi tiruan yang boleh dipilih mengikut citarasa, dan berbeza dari Smart 3.

Dalam perjalanan di kawasan ini juga yang penuh turun naik berbukit-bukau ini juga saya sempat melihat kapasiti bateri bertambah 1% berkat dari pembrekan janaan semula justeru saya yakin fungsi pembrekan janaan semula yang ada pada Smart adalah sangat baik. Malah menerusi data pemanduan, kami telah menjana semula 18.7 kWh berbanding jumlah penggunaan tenaga keseluruhan 55.1 kWh. Sebanyak 50.8 kWh digunakan untuk pemanduan, dan 4.3 kWh digunakan sewaktu parkir kerana kami tidak dibenarkan untuk mematikan kenderaan.
Pada nilai ini, boleh dikatakan penggunaan tenaga pada kereta ini agak efisien dan kami menggunakan tenaga sebanyak 21.6 kWh / 100km, dan ini adalah angka yang pada hemat saya bersesuaian dengan saiz dan beratnya.

Sebagai penumpang, dalam keseluruhan perjalanan ini juga saya berasa selesa duduk di belakang, dan bumbung lutcahaya ini sememangnya memberikan pemandangan dan perasaan yang luas. Walaupun terdapat banyak selekoh, tiada perasaan seperti terlalu tajam atau ‘membuang’ yang dialami, dan ini semestinya mengurangkan risiko pening yang berpotensi dialami oleh penumpang kereta elektrik.

Smart #5 jelas sekali merupakan pembaharuan yang berani oleh Smart dalam siri kereta elektrik mereka, terutama sekali dari segi rekaan yang jelas terasing dari #1 dan #3. Dari segi fungsi dan prestasi, Smart #5 juga seolah-olah menunjukkan kematangan dari segi teknologi. Jika sewaktu pemanduan pertama #1 saya ada nyatakan yang fungsi pemantauan pemandunya yang sangat agresif dan terlalu sensitif, kerap memberikan amaran mengenai pemandu yang tidak fokus.
Smart #3 pula tiada memberikan amaran sebegitu, dan begitu juga Smart #5. Ini ditambah pula dengan penawaran senibina pengecasan 800V yang memendekkan waktu pengecasan walaupun mempunyai bateri sebesar 100 kW. Namun mungkin akan sedikit berbeza dari segi perisian atau Smart #5 yang akan dijual di Malaysia akan ditala semula untuk kesesuaian pemanduan di jalanraya tempatan.

Sekarang ini pastinya kita perlu menanti pengumuman harga Smart #5 apabila ia mula dijual di Malaysia tidak lama lagi. Dengan pra-tempah yang telahpun dibuka, saya rasa model ini akan dijual bermula RM 240,000 untuk versi Pro, dan mungkin versi yang telah saya pandu iaitu Smart #5 Brabus akan dijual pada harga mencapai lebih RM 300,000. Sama-sama kita nantikan kemasukan model ini ke pasaran dan apa yang pasti, model ini akan bersaing dengan SUV elektrik mewah yang lain.