Evolusi Televisyen Pintar Samsung Yang Mengubah Cara Kita Menonton
Amy Maizuraa
Bayangkan anda sedang bersantai di ruang tamu selepas seharian bekerja. Dengan hanya satu sentuhan pada alat kawalan jauh, skrin OLED berteknologi tinggi menyajikan paparan yang memukau. Warna kelihatan lebih hidup, pergerakan terasa lancar, dan setiap butiran imej tampak begitu tajam seolah-olah anda berada dalam dunia sebenar.

Inilah revolusi televisyen pintar yang ditampilkan dalam Samsung Virtual Display 2025 di Bangkok yang saya hadiri beberapa minggu lalu. Bukan sekadar mempamerkan produk baharu, Samsung juga memperkenalkan inovasi yang menjadikan televisyen pintar sebagai pusat kawalan bagi rumah moden.
Dengan gabungan teknologi OLED, QLED, AI Home Experience dan Tizen OS, Samsung bukan sahaja mempertingkatkan pengalaman tontonan, malah membawa konsep televisyen pintar ke tahap yang lebih interaktif dan bijak. Bagaimanakah inovasi ini memberi manfaat kepada kehidupan harian? Saya akan berkongsi pengalaman menyaksikannya sendiri dengan lebih mendalam melalui artikel ini.
Kemajuan Teknologi Dalam Televisyen Pintar
Dunia televisyen pintar telah mengalami perkembangan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dari segi teknologi paparan, kemajuan dalam OLED dan QLED kini menawarkan kejelasan warna yang lebih baik serta kontras yang lebih tinggi bagi menawarkan pengalaman tontonan yang lebih mengasyikkan. Selain itu, penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam televisyen pintar membolehkan pengguna menikmati pengalaman yang lebih diperibadikan, sejajar dengan keperluan individu.
Pada tahun ini, Samsung memperkenalkan konsep Vision AI yang bertujuan untuk memperkukuh keupayaan televisyen pintar dalam memahami serta menyesuaikan kandungan mengikut keutamaan pengguna dengan lebih efisien. Inovasi sebegini bukan sahaja meningkatkan mutu hiburan rumah tetapi juga memperlihatkan masa depan teknologi paparan yang lebih pintar dan menarik.

Samsung turut menambah baik sistem operasi TizenOS bagi menjadikannya lebih mesra pengguna. Penambahbaikan ini bukan sahaja memastikan navigasi yang lebih lancar, tetapi juga membolehkan akses kepada perkhidmatan digital dengan lebih mudah. Inovasi ini direka untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan televisyen pintar, yang kini bukan sekadar alat tontonan biasa tetapi telah menjadi sebuah ekosistem digital yang menyokong gaya hidup moden.
Dengan teknologi yang semakin canggih, televisyen pintar kini berfungsi sebagai pusat kawalan utama di rumah. Ia bukan sekadar alat tontonan, tetapi juga menghubungkan pelbagai peranti dan menyelaraskan pengalaman digital dengan lebih cekap.
Warna Yang Bukan Sekadar Warna
Model OLED terbaru Samsung menawarkan kejelasan warna yang lebih hidup, kontras yang lebih tinggi, serta keupayaan menghasilkan warna hitam yang lebih pekat. Teknologi ini memberikan pengalaman tontonan yang lebih realistik dan menyeronokkan. Dengan pemprosesan imej yang dipertingkatkan, visual yang terhasil tampak lebih tajam lalu menjadikannya pilihan ideal bagi pengguna yang mengutamakan kualiti gambar.

Sejujurnya, saya tidak pernah menulis ulasan mengenai televisyen pintar sebelum ini. Malah, bagi saya, televisyen hanyalah alat hiburan yang sekadar memenuhi keperluan untuk menonton kandungan kegemaran, tidak kira sama ada di Netflix atau platform lain. Namun, selepas menghadiri seminar ini, perspektif saya berubah. Saya mula melihat televisyen pintar bukan sahaja sebagai skrin tontonan tetapi sebagai teknologi yang membawa pengalaman visual ke tahap yang lebih tinggi, khususnya dalam aspek kualiti gambar.
Samsung menyusun dua televisyen pintar secara bersebelahan, satu merupakan model tahun lalu, manakala satu lagi ialah model baharu yang dilabel sebagai 25Y Samsung OLED. Perbandingan ini memperlihatkan perbezaan ketara antara kedua-dua model, terutama dari segi kejelasan paparan dan keupayaan teknologi yang dipertingkatkan. Perbezaan kualiti paparan amat ketara, terutama apabila lampu bilik seminar dipadamkan.

Walaupun gambar yang disertakan mungkin sukar untuk menunjukkan perubahan ini dengan jelas, pengalaman tontonan secara langsung membuktikan peningkatan tersebut. Model baharu Samsung bukan sahaja menampilkan warna yang lebih tepat dan terang, tetapi juga mengekalkan butiran imej bagi memberikan paparan yang lebih semula jadi serta mengasyikkan bagi pengguna.
Keupayaan ini didorong oleh penggunaan NQ4 AI Gen 3, yang meningkatkan keupayaan pemprosesan imej serta kecerdasan buatan yang lebih maju. Teknologi Glare Free 2.0 turut diperkenalkan untuk mengurangkan kesan pantulan cahaya dengan lebih berkesan, tanpa menjejaskan ketepatan warna dan kontras. Dari segi sistem operasi, model ini menjalankan Tizen OS, yang lebih lancar serta menyokong pelbagai fungsi kecerdasan buatan terkini, memberikan pengalaman penggunaan yang lebih optimum.

Selain itu, Samsung menawarkan kemas kini sehingga tujuh tahun bagi memberikan jaminan sokongan jangka panjang kepada pengguna. Ciri tambahan seperti AI Gamma membantu meningkatkan perincian dalam keadaan pencahayaan yang tinggi, sementara sokongan untuk VRR, ALLM, dan FreeSync Premium Pro memastikan pengalaman permainan yang lebih responsif dan lancar.

Pengalaman ini benar-benar membuka mata saya terhadap kemajuan teknologi televisyen pintar. Ia bukan lagi sekadar alat tontonan biasa, tetapi satu inovasi yang mengubah cara kita menikmati hiburan dan visual. Dengan teknologi terkini, televisyen pintar kini memberikan pengalaman yang lebih imersif bagi menjadikan setiap detik tontonan lebih menarik dan memukau.
Paparan Warna Lebih Tepat Melalui QLED
QLED (Quantum Dot Light Emitting Diode) merupakan teknologi paparan canggih yang bantu meningkatkan kejelasan warna dan kontras dengan ketara. Berbanding teknologi LED biasa, QLED menggunakan zarah nano khas yang dikenali sebagai Quantum Dot untuk menghasilkan warna yang lebih tepat. Salah satu kelebihan utama teknologi QLED ialah keupayaannya dalam menghasilkan warna yang lebih jitu tanpa menjejaskan tahap kecerahan.

Dalam seminar ini, Samsung turut menunjukkan sesi perbandingan antara model QLED mereka dengan teknologi lain di pasaran. Keistimewaan QLED terserlah melalui warna yang lebih tepat dan terang, selain keupayaannya mengurangkan pantulan cahaya untuk tontonan lebih jelas, walaupun dalam persekitaran yang terang. Bahkan, warna yang dipaparkan lebih stabil dan semula jadi, memberikan pengalaman tontonan yang lancar tanpa gangguan.
Saya sendiri menyaksikan perbezaannya dengan warna biru yang dihasilkan oleh panel QLED tampak lebih mendalam. Selain itu, menurut Samsung, teknologi ini berperanan dalam menjaga kesihatan mata pengguna dengan lebih baik. Saya berpendapat keadaan ini amat sesuai bagi mereka yang kerap menonton kandungan secara langsung kerana ia memberikan paparan yang lebih jelas dan pengalaman tontonan yang lebih optimum.
Integrasi AI Dalam Kehidupan
AI semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian yang bantu memudahkan tugas serta meningkatkan produktiviti harian. Dalam segmen televisyen pintar, AI berfungsi untuk meningkatkan kualiti tontonan dengan ciri yang memudahkan interaksi pengguna.

Samsung turut menaiktaraf TizenOS dengan ciri yang lebih menarik, termasuk Samsung TV Plus ialah platform yang menawarkan akses kepada pelbagai kandungan secara percuma tanpa memerlukan langganan. Dengan teknologi ini, pengguna dapat menikmati pengalaman tontonan yang lebih pintar, diperibadikan, dan bebas gangguan. Perkhidmatan ini tersedia secara percuma melalui TV Samsung, membolehkan pengguna menikmati pelbagai jenis rancangan yang menarik.

Saya sendiri telah mencubanya dan berpendapat bahawa platform ini cukup mudah untuk digunakan. Antaramukanya sangat mudah diakses, menyerupai pengalaman menggunakan Netflix. Pengguna hanya perlu mencari, memilih, dan menekan pilihan, kemudian kandungan akan dimainkan dengan lancar.
Antara rancangan yang tersedia termasuk kandungan daripada SM Entertainment, yang menampilkan pelbagai program K-pop seiring dengan identiti jenama ini yang berasal dari Korea Selatan. Pengguna juga boleh melihat jadual siaran kandungan seterusnya serta pelbagai pilihan lain. Namun, sayangnya perkhidmatan ini masih belum ditawarkan kepada pengguna di Malaysia buat masa ini.
Seterusnya, TizenOS menerima peningkatan dalam fungsi keselamatan, mencerminkan keprihatinan Samsung terhadap kesejahteraan pengguna. Kini, ciri Pet dan Family Care disertakan bagi memudahkan pengguna memantau serta menjaga ahli keluarga dan haiwan peliharaan dengan lebih efisien.

Melalui demo yang diperlihatkan, televisyen ini mampu mengesan bunyi seperti salakan anjing atau tangisan bayi. Secara automatik, ia akan menghantar notifikasi kepada pengguna sebagai makluman bagi memastikan mereka sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.
Ia akan dihantar melalui telefon pintar yang disambungkan, khususnya peranti Samsung. Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada ia boleh berfungsi dengan peranti selain Samsung atau sebaliknya. Selain notifikasi atau amaran, televisyen ini juga akan memainkan audio bersesuaian untuk membantu menenangkan keadaan, terutamanya apabila pengguna berada di lokasi lain. Pengguna turut boleh menyemak analisis jumlah salakan atau tangisan yang diterima dalam tempoh tertentu melalui telefon pintar, bagi mengenal pasti corak atau pola kejadian.
Penjelasan Samsung kepada pihak Amanz menyatakan bahawa fungsi ini hanya dapat mengesan bunyi salakan anjing dan tangisan bayi buat masa ini. Namun, mereka merancang untuk meningkatkan keupayaannya pada masa akan datang bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.
Berdasarkan pemerhatian saya semasa seminar ini, notifikasi yang dihantar menunjukkan sedikit kelewatan, di mana sistem mengambil masa sebelum benar-benar memberikan pemberitahuan kepada pengguna. Namun, faktor yang menyebabkan kelewatan ini masih belum dapat dipastikan. Samsung turut menunjukkan komitmen yang kukuh dalam menyediakan perkhidmatan gaya hidup terbaik.
Perkhidmatan Gaya Hidup
Perkhidmatan seperti Daily Board dan Samsung Daily yang membolehkan pengguna mengurus jadual harian, mendapatkan berita terkini, serta mengakses kandungan hiburan dengan lebih efisien. Antara ciri yang menarik perhatian saya ialah bagaimana Samsung memudahkan pengguna yang tidak mempunyai masa untuk memasak.

Berdasarkan pengalaman saya mencubanya sendiri, televisyen ini dapat menyediakan pilihan menu berdasarkan bahan yang terdapat di rumah. Bukan sekadar menu, malah ia turut menyertakan resipi lengkap, jumlah hidangan, kandungan kalori, serta menyenaraikan bahan ke dalam troli pembelian, yang sememangnya membantu pengguna terutamanya mereka yang gemar memasak di rumah. Selain itu, ciri ini bukan sahaja memberikan cadangan memasak atau resipi, malah ia turut mencadangkan pilihan terbaik untuk sarapan, makan tengah hari, dan makan malam setiap hari.

Selain itu, bagi mereka yang ingin menceriakan suasana di rumah, Samsung Art Store menawarkan lebih daripada sekadar paparan televisyen biasa. Dengan ciri ini, pengguna boleh menjadikan skrin televisyen sebagai galeri seni digital, memaparkan koleksi lukisan, gambar, dan ilustrasi yang boleh disesuaikan mengikut citarasa mereka. Televisyen kini bukan sekadar alat tontonan, tetapi juga boleh berfungsi sebagai elemen hiasan rumah.

Selepas seharian bekerja, bayangkan pulang ke rumah dan disambut dengan paparan seni yang menenangkan, daripada pemandangan indah hingga karya klasik yang memikat hati. Televisyen kini bukan sekadar alat tontonan, tetapi juga elemen hiasan yang menceriakan ruang dan mencerminkan gaya pemiliknya. Ciri ini terdapat dalam televisyen Samsung, khususnya model The Frame, yang menggabungkan teknologi dan seni.
Apabila tidak digunakan, skrin televisyen menyerupai bingkai seni yang menambah sentuhan kemewahan kepada ruang kediaman. Ia menjadikan suasana lebih hidup dan selesa di rumah. Seronoknya dapat mencuba sendiri! Pilihan yang pelbagai memang menjadikan pengalaman lebih menarik terutamanya dengan tema seperti Princess Disney yang membawa elemen fantasi dan keindahan ke dalam paparan skrin.

Bagi yang gemar berkaraoke, televisyen Samsung kini menawarkan pengalaman hiburan tanpa perlu mengeluarkan belanja tambahan! Dengan ciri karaoke terbina hasil kerjasama dengan Stingray, pengguna dapat menikmati lagu-lagu kegemaran secara langsung di rumah. Ciri ini dilengkapi dengan lirik serta sokongan audio berkualiti tinggi, dan menjadikan pengalaman berkaraoke lebih menyeronokkan tanpa perlu keluar ke pusat hiburan.

Menariknya, ciri ini tidak memerlukan mikrofon tambahan kerana telefon pintar boleh digunakan sebagai mikrofon. Dengan hanya menyambungkan peranti ke televisyen melalui hub pintar, pengguna dapat menikmati pengalaman berkaraoke yang lebih mudah dan praktikal, tanpa perlu membeli aksesori tambahan. Sama ada menggunakan telefon Samsung atau jenama lain, sambungan pantas melalui kod QR memastikan akses yang lancar untuk semua pengguna untuk membolehkan mereka terus menikmati hiburan di rumah tanpa gangguan.

Cubaan saya mendapati bahawa peranti yang disambungkan bukan sahaja boleh digunakan sebagai mikrofon, tetapi juga membolehkan kawalan seperti laras audio, pemilihan jenis audio dan beberapa tetapan lain. Namun, semasa menyanyi, saya perasan terdapat sedikit lengah masa yang mempengaruhi keserasian antara suara dan muzik latar. Hal ini mungkin disebabkan sambungan peranti atau pemprosesan audio dalam sistem yang boleh memberi kesan kepada pengalaman penggunaan.
Walaupun lengah masa ini berlaku, ia masih dalam tahap yang boleh diterima dan tidak mengganggu keselesaan semasa menyanyi. Bagi mereka yang gemar mengekalkan tempo yang tepat, sedikit penyesuaian mungkin diperlukan tetapi keseluruhan pengalaman berkaraoke terasa menyeronokkan.
Pengalaman Permainan Lebih Imersif
Seminar ini bukan sahaja menampilkan kehebatan paparan, tetapi juga memperlihatkan keunggulan dua monitor baharu mereka. Dengan teknologi terkini dan reka bentuk canggih, monitor ini menawarkan pengalaman visual yang lebih imersif serta prestasi luar biasa khususnya untuk gamers yang mengutamakan kelancaran permainan dan ketepatan grafik.

Dengan kadar segar semula mencapai 500Hz dan resolusi tinggi, monitor ini memastikan setiap pergerakan dalam permainan lebih lancar, responsif, dan mengasyikkan. Teknologi ini memberikan kelebihan kepada pemain untuk menikmati pengalaman permainan yang lebih mendalam dengan visual yang tajam dan pergerakan yang lancar.
Sama ada dalam aksi pantas atau strategi yang memerlukan ketepatan, monitor ini direka khusus untuk memenuhi keperluan gamers yang mengutamakan prestasi tinggi dalam setiap sesi permainan. Hasilnya, pengalaman gaming boleh menjadi lebih responsif, lantas membolehkan pemain menikmati kelancaran visual serta kawalan yang lebih tepat dalam setiap pergerakan.

Seterusnya, monitor 3D tanpa kaca mata khas membawa pengalaman visual ke tahap yang lebih mengagumkan. Dengan teknologi paparan terkini, pengguna dapat menikmati kesan 3D yang lebih imersif tanpa perlu bergantung pada aksesori tambahan seperti kaca mata khas. Sebenarnya, teknologi ini bukanlah sesuatu yang sepenuhnya baharu. Malah, Lenovo juga sebelum ini telah memperkenalkan monitor 3D sebegini memberi pengguna peluang untuk menikmati paparan yang lebih mendalam tanpa gangguan.

Teknologi ini menggunakan lapisan optik khas dan penjejakan mata untuk mencipta kedalaman imej yang lebih semula jadi, menjadikan paparan lebih hidup dan realistik. Selain itu, teknologi ini turut mengintegrasikan light field display yang mampu menghasilkan kesan kedalaman yang lebih tepat. Dengan inovasi ini, pengguna dapat menikmati pengalaman visual yang lebih mengasyikkan tanpa memerlukan kaca mata khas.
Saya sempat mencubanya sendiri dan mendapati bahawa teknologi ini benar-benar berfungsi seperti yang dijanjikan. Kesan 3D yang dihasilkan terasa begitu semula jadi, serta memberikan paparan yang realistik tanpa memerlukan kaca mata khas. Keadaan ini mungkin berbeza bagi setiap individu, tetapi kebanyakan peserta seminar turut berkongsi pendapat yang sama, mereka dapat melihat paparan ini dalam bentuk 3D dengan jelas dan nyata.

Bayangkan anda sedang bermain permainan aksi yang penuh dengan letupan dan pergerakan pantas. Dengan skrin 3D ini, setiap percikan api dan ledakan nampak begitu nyata membuatkan anda terasa seolah-olah benar-benar berada di medan pertempuran.
Dengan Samsung Virtual Display 2025, dunia televisyen pintar menjadi lebih menarik. Teknologi seperti OLED, QLED dan AI Home Experience bukan sahaja meningkatkan kualiti tontonan malah menjadikan televisyen sebahagian daripada gaya hidup moden. Samsung mencipta pengalaman tontonan yang lebih peribadi untuk pengalaman hiburan yang lebih menarik. Inovasi ini menandakan masa depan hiburan yang semakin canggih lalu membawa pengalaman visual ke tahap yang lebih mengasyikkan. Dunia paparan juga berubah di mana pengguna berpeluang menikmati hiburan dengan cara yang lebih moden.