Perang Vietnam dan Afghanistan adalah dua contoh teknologi ketenteraan paling canggih tidak menjanjikan kemenangan. Kini di Ukraine, sekali lagi Rusia berhadapan musuh lebih kecil yang berjaya menyebabkan kerosakan besar menggunakan senjata kos rendah. Ahad lalu dilaporkan sebanyak 41 pesawat pengebom Rusia musnah atau berjaya dirosakkan menggunakan dron yang dilancarkan daripada kontena.

Serangan dilakukan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) menggunakan ratusan dron kecil yang disorok pada bahagian bumbung kontena. Apabila tiba ke pangkalan udara pesawat pengebom Rusia, dron dilancarkan dengan ia dipercayai dilakukan secara swaterbang menggunakan perisian sumber terbuka Ardupilot. Terdapat laporan mengatakan kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mengarahkan dron menyerang bahagian pesawat yang mendatangkan kemusnahan paling besar.

Dron kecil dari jenis kuadrotor yang digunakan berjaya memintas sistem keselamatan udara dan radar yang digunakan Rusia untuk mempertahankan pangkalan udara mereka. Antara pesawat yang berjaya diserang ialah pesawat pengebom Tupolev Tu-95 Bear, Tupolev Tu-22M Backfire dan pesawat AWACS Beriev A-50 Mainstay.

Kemusnahan dianggarkan bernilai $9 bilion dengan menyebabkan Rusia kehilangan 34% armada pesawat pengebom strategik mereka. Serangan ini sudah diberikan nama jolokan Pearl Harbor Rusia kerana ia dilakukan secara mengejut.

Bagi Rusia ini ialah tamparan hebat ke atas kemampuannya melakukan serangan peluru berpandu ke atas Ukraine. Pengeluaran Tupolev Tu-95 Bear dan Tupolev Tu-22M Backfire telahpun dihentikan sejak 1991 dengan tiada pesawat ganti dapat dihasilkan. Sebelum serangan dilakukan, Rusia dipercayai mempunyai 60 Tu-95 yang masih beroperasi.
Ianya juga cukup memalukan kerana SBU melakukan operasi dari dalam Rusia dan serangan dapat dilakukan ke atas pangkalan udara yang terletak di Siberia.