Microsoft Akan Mengetatkan Piawaian Penggunaan Palam USB-C Pada Komputer Riba
Nazrin
Palam USB-C diperkenalkan oleh USB-IF beberapa tahun dahulu sebagai format piawaian terbaru yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis tugasan, dari menyambungkan aksesori kepada komputer, pengecasan komputer riba dan peranti, dan juga untuk pelbagai tujuan lain.

Isu terbesar yang dilihat membelenggu penggunaan palam ini ialah sokongan teknologi yang diperlihatkan melalui palam USB-C ini. Setakat ini, sokongannya terdiri daripada format USB 3.2 Gen 3, USB4 dan Thunderbolt 4 ataupun 5 bergantung kepada sokongan pada cip pemprosesan.
Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang cukup serius, khususnya untuk komputer riba yang menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows dimana ramai pengguna tidak sedar akan perbezaan di antara palam-palam ini.
Oleh kerana itu, Microsoft mengesahkan bahawa mereka akan mengemaskini program Windows Hardware Compatibility (WHCP) mereka untuk memastikan bahawa palam-palam USB-C yang digunakan pada komputer-komputer riba akan datang memenuhi beberapa kriteria penting.

Pertama ialah janji yang diperlihatkan oleh Microsoft sendiri, yang mana penghantaran data, pengecasan dan sambungan paparan melalui palam USB-C akan berfungsi tanpa memerlukan pengguna melakukan apa-apa lebih dari menyambungkan sahaja kabel ataupun aksesori USB-C kepada komputer riba.
Kedua ialah sistem yang hadir dengan sokongan untuk penggunaan palam USB4 (40Gbps) ataupun Thunderbolt 3 dan ke atas, semua palam USB-C yang diperlihatkan pada sebuah komputer riba akan menyokong teknologi yang sama, dan bukan satu palam sahaja yang akan menyokongnya.
Kesemua palam USB-C ini juga diwajibkan untuk menyokong pengecasan peranti 15W dari komputer riba ke peranti, manakala untuk sambungan kepada paparan pula, setiap palam perlu menyokong sambungan ke dua buah paparan skrin 4K 60Hz melalui sambungan DP Alt.
Untuk komputer riba yang masih lagi menggunakan palam USB-C 3.2 palam-palam tersebut juga masih perlu menyokong pengecasan PowerDelivery melalui USB, dan juga menyokong output kepada satu paparan skrin melalui sambungan DP Alt.
Microsoft mengatakan bahawa program WHCP akan dikemaskini dan kelak, semua komputer riba yang tiba dengan sistem operasi Windows 11 24H2 akan tampil dengan piawaian palam USB-C baru ini.
[sumber] Microsoft Blog [/sumber]