Google Wallet Tamatkan Integrasi PayPal Untuk Pengguna Amerika Syarikat
Nazrin
Google Wallet merupakan sebuah kaedah pembayaran digital yang sangat mudah, dimana anda boleh menggunakan peranti pintar anda untuk melakukan pembayaran tidak kira secara atas talian ataupun di kedai-kedai fizikal. Anda hanya perlu memautkan butiran kad debit atau kredit anda sekiranya bank kad tersebut menyokong pembayaran melalui Google Wallet, dan anda sudah sedia menggunakannya.
Pautan Google Wallet kepada perkhidmatan dompet digital PayPal telah diperkenalkan untuk beberapa tahun, dimana sebelum ini ia disokong di Amerika Syarikat dan juga Jerman. Tetapi Google baru-baru ini telah membuat pengumuman bahawa sokongan untuk pautan PayPal kepada Google Wallet akan ditamatkan untuk pengguna Amerika Syarikat bermula 13 Jun 2025.

Google turut mengatakan bahawa akaun PayPal sudahpun tidak boleh dipautkan kepada Google Wallet sejak 11 April 2025, tetapi akaun yang sudahpun memautkan akaun mereka boleh terus menggunakannya sehingga tamat tempoh yang dikatakan.
Walaupun begitu, pihak Google juga mengesahkan bahawa mereka yang menggunakan kad debit dengan penjenamaan PayPal masih lagi boleh terus memautkan kad tersebut kepada Google Wallet.
Buat masa ini, pihak Google mahupun PayPal belum lagi mengeluarkan kenyataan tentang mengapakah sokongan tersebut akan ditamatkan, dan lebih aneh lagi mengapa ia hanya melibatkan pengguna-pengguna di Amerika Syarikat. Pengguna PayPal di negara Jerman masih boleh terus memautkan akaun mereka kepada Google Wallet untuk pembayaran digital dan menggunakan peranti pintar mereka tanpa masalah.
[sumber]Google[/sumber]