Komputer Riba Alienware Dengan APU NVIDIA Berasaskan Arm Mungkin Tiba Tahun Ini
Effi Saharudin
Komputer riba gaming pada waktu ini menggabungkan CPU X86 dengan GPU AMD atau NVIDIA. Ini ialah kombinasi mantap yang masih belum mampu ditandingi cip Apple Silicon mahupun Snapdragon X. Hari ini muncul laporan daripada United Daily News yang mengatakan komputer riba gaming Alienware akan tiba penghujung tahun ini atau awal 2026 dengan APU buatan NVIDIA berasaskan Arm.

APU akan menggabungkan CPU buatan MediaTek dan GPU NVIDIA Blackwell. Berita hari ini sekadar meneguhkan lagi laporan yang tertiris tahun lalu mengenai kerjasama Dell dan NVIDIA dengan cip ARM ini akan dilengkapi teras CPU Cortex X5 BlackHawk dan ia dibuat menggunakan teknologi 3nm
Tahun ini NVIDIA sudahpun bekerjasama dengan MediaTek menghasilkan cip GB10 untuk Project DIGITS yang menggabungkan CPU 20 teras berasaskan ARM dengan GPU NVIDIA Blackwell. Maka menghasilkan APU untuk komputer riba gaming adalah langkah yang maakul pada ketika ini.
Bagi peminat gaming pelancaran APU ini pastinya dinantikan kerana akan menjadikan ARM platform yang setanding dengan X86. Walaupun cip Qualcomm Snapdragon X mempunyai kuasa CPU yang tinggi, prestasi gaming masih kurang memuaskan kerana GPU yang kurang serasi dengan pelbagai permainan video.