Kota Madani Akan Dibina Di Putrajaya Dengan Integrasi AI dan Mobiliti Hijau
Effi Saharudin
Hampir tiga dekad lalu, pembangunan Bandaraya Putrajaya sebagai pusat pemerintahan baharu kerajaan Malaysia diumumkan oleh Tun Dr Mahathir. Ia dibangunkan dengan visi sebagai bandar terancang, dilengkapi internet halaju tinggi, teratur, moden, dan mesra pejalan kaki serta pengangkutan awam. Tiga dekad berlalu dan semalam projek Kota Madani pula diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan visi yang hampir serupa.

Kota Madani mempunyai kesemua visi yang sama dengan Putrajaya cuma kali ini mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), prasarana digital kecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau. Pengumuman projek dilakukan Perdana Menteri menerusi akaun X beliau.
Konsep Kota Madani menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat. Antara kemudahan yang akan dibina di dalamnya ialah sekolah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan masjid yang akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.

Fasa pertama Kota Madani membabitkan pembinaan sekitar 3000 unit kediaman dan sebuah sekolah dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027. Acara pecah tanah akan dilakukan pada 26 Jun depan.
Apabila siap sepenuhnya, Kota Madani dalam kota Mahathir ini akan mempunyai keluasan 41.28 hektar dengan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk. Sebuah lagi tarikan Kota Madani ialah penerapan unsur budaya tempatan sejajar usaha mengekalkan seni bina dan warisan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pembangunan ini adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI dan selari visi Bandar CHASE (Clean, Healthy, Advanced, Safe, Eco Friendly)