Pengeluaran Kereta Di Amerika Dan Eropah Bakal Terhenti Kerana Sekatan Unsur Nadir Bumi China
Effi Saharudin
China mengetatkan eksport magnet unsur nadir bumi dan unsur nadi bumi di peringkat global sejak April lalu sebagai membalas tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Eksport kedua-dua bahan ini dihadkan kerana ia mempunyai kegunaan sekunder bagi tujuan ketenteraan. Tetapi yang paling teruk terkesan pada waktu ini ialah industri automotif di Amerika Syarikat dan Eropah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pembekal Automotif Eropah (CLEPA), pengeluaran kenderaan dan komponen di Eropah sudahpun mula dihentikan di Eropah. Pengeluaran kenderaan di Amerika Syarikat pula dijangka terhenti dalam masa beberapa minggu sahaja lagi. China memerlukan lesen khas sebelum magnet unsur nadir bumi dan unsur nadir bumi boleh dieksport. Tetapi China hanya meluluskan 25% permohonan lesen eksport setakat ini sehingga mewujudkan isu di rantaian bekalan.
Selain industri automotif, industri robotik dan pengeluaran bateri kenderaan elektrik juga turut terkesan. China menggunakan dominasi 90% pengeluaran unsur nadi bumi bagi memberikan tekanan ke atas Amerika Syarikat. CLEPA sudahpun menggesa Amerika dan China melakukan rundingan segera sebelum industri automotif Amerika dan Eropah lumpuh sepenuhnya dalam masa terdekat.