Bersama-sama penjenamaan semula angka versi untuk sistem operasi, Apple pada WWDC kali ini memperkenalkan pembaharuan pada antaramuka yang digunakan pada sistem operasi mereka, menjadikan ia selari pada semua sistem operasi. Antaramuka baharu ini dinamakan oleh Apple sebagai “Liquid Glass”.

Liquid Glass dilihat mengambil inspirasi berasaskan kepada visionOS sebelum ini yang menguasakan set realiti-maya Apple. Melaluinya, seperti pada namanya, ia memberikan kesan lebih kurang seumpama kaca, disamping elemen-elemen seumpama kaca dan lutsinar pada antaramuka. Ia juga diselarikan pada tema gelap atau cerah.
Selari dengan pengenalan antaramuka baharu ini, pelbagai aplikasi dibawah Apple turut dikemaskini dengan rekaan baharu menyuntik elemen “Liquid Glass” ini. Apple mengatakan lebih banyak elemen dapat dimuatkan, disamping bahagian menu yang boleh dikecilkan atau disembunyikan apabila tidak digunakan – memberikan pengalaman penggunaan pada skrin lebih baik dan menyeluruh.

Dengan pengenalan rekaan antaramuka baharu ini, kita mungkin melihat perubahan pada pelbagai aplikasi sedia ada secara berperingkat dari hari ke hari akan datang.

Untuk makluman juga, Microsoft sebelum ini pernah cuba dengan antaramuka yang menggunakan elemen lebih kurang sama, iaitu kesan kaca dan lutsinar, dinamakan sebagai Aero Glass melalui Windows Vista. Namun, penerimaan pengguna ketika itu adalah agak kurang memberangsangkan untuk rekaan antaramuka tersebut. Mungkin pada peranti mudah-alih, penerimaannya adalah berbeza.