iPadOS 26 Diumumkan – Dengan Tingkap Aplikasi dan Aplikasi Berjalan Di Latar Belakang Seperti macOS
Effi Saharudin
Sejak beberapa tahun lalu ramai tertanya-tanya bilakah iPadOS akan mempunyai kemampuan sama dengan macOS. Ada yang mengatakan ia tidak akan berlaku kerana Apple tidak mahu iPad bersaing terus dengan komputer Mac. Pagi ini iPadOS 26 diumumkan secara rasmi dengan ia akhirnya mempunyai beberapa ciri mirip dengan macOS.

Pertama sekali semua aplikasi boleh dibuka di dalam tingkap terapungnya yang sendiri seperti di macOS. Pengguna masih boleh menggunakan paparan skrin penuh seperti dahulu cuma di bucu bawah kanan terdapat tab yang membolehkan saiz tingkap skrin diubah sendiri dan kemudiannya tingkap ini boleh diletakkan di mana-mana sahaja sama seperti di desktop. Lebih menarik ialah saiz tingkap aplikasi yang dibuka diingati oleh iPadOS 26.
Apabila disambungkan kepada papan kekunci dan trackpad, kursor pada skrin kini lebih jitu. Apabila kursor diapungkan di atas butang aplikasi, ia akan membuka beberapa pilihan seperti di macOS. Sebuah palang menu juga akan dipaparkan pada bahagian atas yang dipinjam daripada macOS.

Ciri yang saya paling teruja sekali ialah Background Tasks yang akhirnya membolehkan aplikasi yang tidak dibuka terus berfungsi di latar belakang. Contohnya saya boleh memproses video di CapCut dan sementara menanti membuka YouTube untuk menghabiskan masa. Selama ini aplikasi yang tidak dibuka akan dibekukan proses oleh iPadOS.
Untuk melihat semua aplikasi yang dibuka, lakukan gestur tatal ke atas dari bawah bagi membuka Exposé dengan kesemua aplikasi yang dibuka akan dipaparkan serentak sama seperti Mission Control di macOS. Rekaan antaramuka dan ikon juga diubah untuk nampak seperti kaca selari dengan konsep Liquid Glass yang diumumkan pagi ini.

Aplikasi Files juga dipertingkat dengan pemperibadian warna setiap folder. Pengguna turut diberikan pilihan memilih aplikasi lalai untuk membuka fail tertentu. Misalnya anda mahu gambar sentiasa dibuka menggunakan Photoshop dan bukannya Photos. Tekan ikon aplikasi dan pilih aplikasi lalai untuk format fail ini secara terus. Folder juga boleh diletakkan terus ke dalam Dock di iPadOS 26 untuk akses lebih pantas.

Calculator pula boleh melakukan graf 3D menggunakan Math Notes yang menjadikannya kali pertama ini boleh dilakukan pada iPad. Tidak dilupakan aplikasi Preview juga akhirnya ke iPad bagi memudahkan proses menyunting PDF.
Seperti di iOS 26, terdapat ciri Live Translation yang menghasilkan sari kata atau mengubah teks yang diterima dalam panggilan telefon FaceTime, dan Messages. Begitu juga dengan ciri mengawal kamera dengan AirPods, lirik lagu Apple Music kini hadir dengan alih bahasa dan Apple Maps yang mengingati lokasi yang pernah dilawati.

Berikut ialah model-model iPad yang akan menerima iPadOS 26.
- iPad Pro (M4)
- iPad Pro 12.9″ (Gen 3 dan selepasnya)
- iPad Pro 11″ (Semua)
- iPad Air (M3)
- iPad Air (M2)
- iPad Air (Gen 3 dan selepasnya)
- iPad (A16)
- iPad (Gen 8 dan selepasnya)
- iPad mini (A17 Pro)
- iPad mini (Gen 5 dan selepasnya)