Tencent melalui Tencent Music kini telah bersetuju untuk mengambil-alih sebuah syarikat podsiar terkemuka di China, iaitu Ximalaya. Tencent mengambil-alihnya pada nilai $1.3 bilion.
Ximalaya sebelum ini sedia menerima pelaburan daripada Tencent sendiri, selain Baidu dan juga Sony. Pada 2023 yang lepas, Ximalaya mengatakan mereka mempunyai 303 juta pengguna aktif bulanan. Angka terkini tidak dikongsikan.

Dengan pengambil-alihan ini, Tencent Music dijangka akan dapat mengintegrasikan kandungan podsiar Ximalaya, sekaligus mempelbagaikan lagi penawaran kandungan mereka kepada pelanggan. Tencent Music sendiri merupakan salah satu penyedia akses kandungan muzik terkemuka di China, dan pengambil-alihan ini dilihat akan mengukuhkan lagi kedudukan Tencent Music.