A10 Networks ialah sebuah syarikat keselamatan teknologi yang bertapak di Amerika Syarikat yang secara lazimnya membekalkan penyelesaian sekuriti untuk infrastruktur IT penting didalam pejabat, pusat data awanan ataupun pusat data AI.

Sebelum ini kita pernah membaca tentang insiden tentang bagaimana model bahasaraya tersuai ataupun komersil seperti ChatGPT, Gemini dan sebagainya boleh terdedah kepada ancaman siber, sama seperti banyak, jika tidak semua perkhidmatan digital dan atas-talian yang lain.
Aplikasi firewall A10 Networks ini menggabungkan kuasa pemprosesan GPU dan perisian keselamatan yang boleh diletakkan di hadapan API dan juga pautan perkhidmatan AI dan LLM dalam memastikan bahawa data yang dihantar kepada perkhidmatan AI ini disemak dan dituras terlebih dahulu sebelum diterima dan diproses oleh perkhidmatan AI.

A10 Networks mengatakan bahawa aplikasi firewall mereka ini boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan pembelajaran mesin dan juga inferens oleh perkhidmatan AI tersuai dan juga komersil yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat seperti OpenAI, Anthropic, Google dan sebagainya.
Aplikasi ini boleh mengesan ancaman AI seperti suntikan arahan (prompt injection) dan kebocoran maklumat sulit dengan memeriksa arahan dan maklum balas pada peringkat arahan, serta menguatkuasakan polisi keselamatan yang diperlukan untuk menangani ancaman tersebut.

Dalam pada itu, ia juga dapat mengesan sekiranya terdapat isu berkenaan rangkaian ataupun kapasiti pemprosesan diantara pusat data AI dan pengguna. Sistem yang terbina pada firewall A10 Networks ini mampu memberi pemilik perkhidmatan AI beberapa pilihan secara nyata untuk menambah kapasiti kemampuan perkhidmatan sebelum isu tersebut menjadi kritikal.
Lebih lama perkhidmatan ini digunakan, ia juga akan mempelajari trend-trend penggunaan sistem AI syarikat. Selain daripada memberi anggaran tepat tentang bilakah perkhidmatan mereka akan digunakan dengan lebih kerap, ia juga akan memberitahu pasukan IT syarikat tentang bilakah masa terbaik untuk melakukan penyelenggaraan dan kemaskini pada sistem IT mereka.

A10 Networks sedang memperlihatkan kemampuan aplikasi firewall AI mereka di persidangan Interop Tokyo yang sedang berlangsung sepanjang minggu ini.