Vivo X Fold5 Ialah Telefon Android Pertama Menyokong Apple Watch
Effi Saharudin
Apple Watch dilancarkan 10 tahun yang lalu dan sejak itu ia hanya boleh dipadankan kepada sebuah iPhone. Apple menerima banyak permintaan untuk memberikan sokongan rasmi pada Android tetapi sehingga ke hari ini tidak diendahkan. Penantian 10 tahun ini berakhir tahun ini apabila Vivo X Fold5 dilancarkan kelak.

X Fold5 ialah telefon pintar skrin lipat terkini Vivo dan dalam muatan ke Weibo, syarikat menunjukkan ia ditambat kepada sebuah Apple Watch Series 9. Pemilik boleh melakukan panggilan telefon, menerima notifikasi dan menyimpan data kesihatan terus ke aplikasi kesihatan Vivo.
Ciri ini diberikan pada X Fold5 kerana menurut Vivo terdapat ramai pengguna iPhone yang berpindah ke Android dan akibatnya tidak lagi boleh menggunakan Apple Watch yang sudah dimiliki sebelum ini.
Vivo tidak mengatakan bagaimana Apple Watch boleh digunakan pada sistem operasi Android. Tetapi sejak tahu lalu kita sudah melihat ciri AirDrop antara iOS dan Android mula disertakan pada peranti buatan China. Oppo Find N5 pula mempunyai ciri unik mengakses komputer macOS terus daripada skrin telefon dari jarak jauh.