Red Magic Gaming Tablet 3 Pro Dilancarkan – Skrin OLED 165Hz Dan Cip Snapdragon 8 Elite
Amy Maizuraa
Red Magic Gaming Tablet 3 Pro telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi. Ia menampilkan paparan OLED 9.06-inci dengan kadar segar semula 165Hz serta bezel yang nipis untuk pengalaman penggunaan yang lebih imersif.

Ia dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite dengan padanan memori sehingga 24GB RAM LPDDR5T dan storan dalaman 1TB UFS 4.1 Pro. Sistem penyejukan ICE 3.0 disertakan boleh mengawal suhu untuk penggunaan lebih stabil, manakala bateri 8200mAh dengan pengecasan pantas 80W pula sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang. Ia juga dilengkapi dengan kamera utama 50MP OIS serta pembesar suara stereo untuk audio yang berkualiti tinggi.

Tablet ini menjalankan Red Magic OS 10.5 yang dioptimumkan untuk pengalaman permainan lebih lancar. Ia dilengkapi dengan Cube Game Engine yang meningkatkan kadar bingkai, kecekapan tenaga, dan prestasi haba bagi lebih 30 permainan yang disokong. Selain itu, sistem ini menyediakan emulator PC yang membolehkan permainan komputer dijalankan terus pada peranti, serta Super Workbench bagi tujuan memudahkan tugasan produktiviti.