Siri Komputer Riba ASUS TUF Gaming Dikemaskini Dengan Komponen-Komponen Terbaru
Nazrin
ASUS Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan siri komputer riba ASUS TUF Gaming yang dikemaskini dengan komponen-komponen AMD, Intel dan NVIDIA yang terbaru. Model-model yang dikemaskini ini termasuklah ASUS TUF Gaming A16, ASUS TUF Gaming A14 dan ASUS TUF Gaming F16.

Bermula dengan ASUS TUF Gaming A16, komputer riba ini tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 165Hz. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 9 8940HX bersama-sama 16GB memori DDR5 dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

CPU berkuasa tersebut digabungkan bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 (8GB VRAM) yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi dan tetapan tinggi.
Ia juga tampil dengan bateri besar 90Wh dan juga bongkah pengecasan yang boleh membekalkan sehingga 280W kuasa elektrik untuk menguasakan komponen-komponen berkuasa komputer riba ini.
Jika anda mahu mencari sebuah komputer riba yang lebih padat, mungkin ASUS TUF Gaming A14 adalah untuk anda. Ia hadir dengan paparan skrin 14 inci dengan resolusi yang sama seperti TUF Gaming A16 dan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI 350 dengan penawaran memori LPDDR5X setinggi 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA GeForce RTX 5060 (8GB VRAM) yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan moden pada resolusi dan tetapan tahap pertengahan. Komputer riba ini dimuatkan dengan bateri 73Wh dan bongkah pengecasan 200W untuk menguasakan komponen-komponen komputer riba ini.
Jika anda lebih meminati gabungan CPU dan GPU Intel dan NVIDIA, ASUS TUF Gaming F16 adalah apa yang anda mahukan. Ia tampil dengan saiz paparan dan resolusi sama seperti komputer riba TUF Gaming A16, tetapi dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i7 14650HX dan Intel Core i5-13450HX.

Kedua-dua komputer riba ini dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 (8GB VRAM) yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden, dengan memori DDR5 sebanyak 16GB, dan pilihan storan SSD PCIe 4.0 512GB dan 1TB bergantung kepada model CPU yang dipilih.

Dalam pada itu, komputer riba ASUS Gaming V16 juga telah dikemaskini dengan penawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060, dan kini dijual pada harga RM5199.
ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini sudahpun mula ditawarkan melalui kedai atas talian ASUS e-Store dan kedai-kedai fizikal pengedar komputer riba ASUS. Tanda harga komputer-komputer riba ini adalah seperti berikut:
- ASUS TUF Gaming A16 – RM7499
- ASUS TUF Gaming A14 – RM7299
- ASUS TUF Gaming F16 (Intel Core i7) – RM6499
- ASUS TUF Gaming F15 (Intel Core i5) – RM5999
- ASUS Gaming V16 (NVIDIA GeForce RTX 5060) – RM5199