ASUS Malaysia Mengesahkan Siri Konsol ROG Xbox Ally Akan Memasuki Pasaran Tempatan
Nazrin
Sewaktu acara pelancaran siri komputer riba ASUS TUF Gaming terbaru, kami juga telah mendapat pengesahan bahawa ASUS Malaysia akan membawa masuk siri konsol permainan mudah-alih ASUS ROG Xbox Ally ke pasaran tempatan.
ASUS ROG Xbox Ally dilengkapi skrin 7″ FHD 120Hz dengan sokongan FreeSync Premium, dijana cip AMD Ryzen Z2 A, memori 16GB LPDDR5X-6400 RAM, storan 512GB M.2 2280 SSD dan bateri 60Wh. Terdapat 2x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DisplayPort 2.1, pembaca kad UHS-II microSD dan satu bicu audio 3.5mm. Storan SSD boleh digantikan sendiri oleh pengguna.

ASUS ROG Xbox Ally X pula dilengkapi skrin 7″ FHD 120Hz dengan sokongan FreeSync Premium, dijana cip AMD Ryzen AI Z2 Extreme, memori 24GB LPDDR5X-8000 RAM, storan 1TB M.2 2280 SSD dan bateri 80Wh. Terdapat 1x USB-Thunderbolt 4, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DP 2.1, pembaca kad UHS-II microSD dan satu bicu audio 3.5mm. Storan SSD juga boleh digantikan sendiri oleh pengguna.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh ASUS sebelum ini telahpun memperlihatkan bahawa ROG Xbox Ally dan XBox Ally X akan tiba ke pasaran-pasaran dimana konsol ROG Ally dan ROG Ally X dijual, walaupun nama Malaysia tidak diperlihatkan.
Kami diberitahu oleh pihak ASUS Malaysia bahawa mereka hanya sedang menunggu beberapa butiran tambahan seperti pengesahan bahawa pengedar-pengedar kelengkapan elektronik tempatan akan membekalkannya, dan pengumuman lanjut akan dibuat mengenai ketibaannya kelak.
Apabila ditanya lagi mengenai bilakah konsol tersebut akan mula dijual di Malaysia, mereka mengatakan bahawa sama seperti kenyataan yang dikeluarkan secara rasmi oleh pihak ASUS global, ia dijangka akan tiba pada penghujung tahun ini.