Coursera Global Skills Report: Malaysia Di Tempat Ke-50 Dalam Aspek Kecekapan Kemahiran Dengan Fokus Terhadap AI
Nazrin
Proses pembelajaran kini boleh dilakukan dari pelbagai jenis sumber, termasuklah sekolah, kolej, universiti dan juga platform-platform atas-talian yang membolehkan anda mempelajari ilmu dan kebolehan baru secara sampingan jika anda mahukan.

Coursera, salah satu daripada platform pembelajaran dan peningkatan kemahiran atas talian yang popular telah mengeluarkan sebuah laporan (Coursera Global Skills Report) tentang kursus-kursus yang dimanfaatkan secara global.

Menariknya, laporan ini mengatakan bahawa Malaysia telah menunjukkan peningkatan pendaftaran kursus berkaitan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) setinggi 183 peratus dari tahun-ke-tahun, yang mana ia adalah lebih tinggi daripada purata peningkatan Asia Pasifik iaitu 132 peratus.

Ini meletakkan pengguna Malaysia di tempat ke-50 secara global dari aspek kecekapan kemahiran keseluruhan, dan ke-14 di rantau Asia Pasifik. laporan ini menjejaki perkembangan trend kemahiran baharu dan merangkumi 170 juta pelajar di lebih 100 negara.
Pelajar dari Malaysia menunjukkan tahap kecekapan 57 peratus dalam bidang perniagaan, 55 peratus dalam teknologi dan 53 peratus dalam sains data. Selain itu, Malaysia menduduki tangga ke-31 dalam Indeks Kematangan AI yang baru diperkenalkan dan ini mencerminkan tahap pembelajaran AI serta penerapan institusi yang kompetitif di peringkat global.

Diantara penemuan menarik yang diperlihatkan untuk pengguna-pengguna Coursera di Malaysia termasuklah:
- Peningkatan ketara dalam adaptasi kemahiran GenAI, namun jurang penyertaan masih wujud: Pendaftaran kursus GenAI meningkat 183% tahun ke tahun, namun wanita hanya merangkumi 31% daripada jumlah ini – meskipun mereka membentuk 46% daripada jumlah pelajar Coursera di Malaysia.
- Permintaan bagi kelayakan sedia-kerja terus meningkat: Pendaftaran Sijil Profesional meningkat 31% tahun ke tahun – menyerlahkan minat tinggi pelajar terhadap program yang berasaskan keputusan. Namun, wanita hanya menyumbang 29% daripada jumlah ini – menampilkan peluang terhadap penyertaan yang lebih inklusif.
- Pelajar sedang meningkatkan kemahiran operasi teras: Kemahiran utama pelajar termasuk perakaunan pengurusan, analisis proses, pematuhan dan psikologi pemasaran – mencerminkan peningkatan minat terhadap keupayaan strategik dan merentas fungsi.
- Kepimpinan dan pengurusan pekerja menjadi keutamaan: Pelajar Malaysia semakin memberi fokus kepada kemahiran seperti pengurusan bakat, pembangunan organisasi, dan prestasi pekerja – mencerminkan permintaan tinggi terhadap pemimpin yang mampu mengurus pasukan, memacu transformasi dan menyokong pertumbuhan tenaga kerja dalam landskap ekonomi yang dinamik.
“Malaysia sedang membina asas untuk tenaga kerja yang yakin digital. AI jelas menjadi keutamaan majikan, dan para pelajar sedang meningkatkan usaha dalam menguasai kemahiran GenAI untuk kekal berdaya saing,” kata Ketua Asia Pasifik di Coursera, Eklavya Bhave.