Lampu LED Kad Grafik Ini Bertukar Ke Warna Merah Jika Kabel Kuasa Dipasang Secara Salah
Nazrin
Dengan kad-kad grafik berkuasa tinggi seperti NVIDIA GeForce RTX 5090, RTX 5080, malah RTX 4090 juga, terdapat kebarangkalian bahawa komponen dalaman akan mengalami kerosakan ataupun terbakar sekiranya anda menggunakan kabel yang salah, atau memasukkannya secara tidak betul.

Untuk mengurangkan kebarangkalian kerosakan berlaku pada kad grafik anda kerana isu ini, GALAX telah memperkenalkan siri kad grafik GALAX Hall Of Fame RTX 5000 mereka yang terdiri daripada model GALAX Hall Of Fame RTX 5000 dan GALAX HOF RTX 5070Ti.

Kad grafik ini hadir dalam pilihan warna hitam dan putih, dan menggunakan tiga buah kipas (2x 102mm, 1x 92mm) dan bongkah penyejukan yang mengambil tempat tiga slot pengembangan PCIe di belakang rangka komputer.
GALAX HOF RTX 5080 dilewahjam pada kelajuan 2760MHz yang boleh ditingkatkan lagi ke 2775MHz dengan perisian Xtreme Tuner, manakala GALAX HOF RTX 5070Ti pula hadir dengan kelajuan 2610MHz dan 2625MHz.

Satu ciri menarik yang diperlihatkan pada kad grafik ini ialah ciri HOF Debug Safety Indicator yang mengesan dan menunjukkan jika anda memasang kabel kuasa PCIe 12VHPWR dengan betul ataupun tidak. Sekiranya anda memasangnya dengan betul, apabila komputer anda dihidupkan, LED pada penyejuk kad grafik akan menunjukkan warna kuning terlebih dahulu, dan jika ia dipasang secara salah, ia akan menyala dengan warna merah.
Sayangnya untuk model ini, hanya kad grafik GALAX HOF RTX 5090D yang ditawarkan buat masa ini, dan kad grafik ini hanya dijual di pasaran China sahaja. Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada model RTX 5090 akan dijual di masa akan datang.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]