Microsoft dan AMD Bekerjasama Untuk Membangunkan Konsol Xbox Baharu
Nazrin
Siri konsol Xbox Series X dan Xbox Series S kini memasuki tahun ke-5 pelancarannya, dan secara jujur ia dilihat bahawa penawaran sokongan perisian konsol tersebut lebih berjaya berbanding jualan konsolnya.
Mungkin sebagai cara untuk meningkatkan minat terhadap konsol-konsol yang dikeluarkan Microsoft, CEO cawangan Microsoft Xbox, Sarah Bond telah mengumumkan melalui sebuah video bahawa Microsoft dan syarikat pembuat cip pemprosesan AMD sedang bekerjasama untuk membina konsol Xbox baharu.

Kedua-dua syarikat ini akan bekerjasama untuk “membina” siri cip pemprosesan untuk sejumlah produk yang berbeza (mungkin konsol desktop dan konsol mudah-alih) yang akan digabungkan dengan sokongan untuk gedung perisian yang boleh digunakan secara multi-platform.
Xbox juga akan bekerjasama dengan AMD untuk membangunkan semula perkhidmatan Xbox Cloud Gaming untuk generasi seterusnya. Perkhidmatan penstriman permainan ini terhad kepada langganan Xbox Game Pass Ultimate buat masa ini, dan walaupun kami pasti bahawa anda masih akan memerlukan akaun Microsoft untuk melanggan perkhidmatan ini, ia perlu dilihat samada Microsoft akan membuat keputusan untuk memisahkannya kelak atau tidak.
Dalam pada itu, Sarah Bond juga mengatakan bahawa Microsoft juga mahu membina sebuah konsol yang tidak terikat kepada satu gedung perisian permainan sahaja. Ini mungkin bermakna bahawa mengambil iktibar daripada konsol seperti ASUS ROG Ally, MSI Claw, Lenovo Legion Go dan sebagainya, konsol Microsoft akan datang akan hadir dengan sokongan untuk gedung-gedung perisian permainan lain seperti Steam, Epic Games Store, GoG dan sebagainya.

Secara teorinya, kerjasama untuk membangunkan konsol-konsol baru bersama AMD ini adalah langkah yang munasabah. Microsoft dan ASUS dijangka akan memperlihatkan konsol ROG Xbox Ally yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme pada penghujung tahun ini, jadi kerjasama ini dilihat sebagai sesuatu yang sudahpun boleh dijangka.
Tetapi ia cukup menarik bahawa Microsoft membuat pengumuman sebegini dengan sangat awal. Tetapi melihat kepada bagaimana Sony baru sahaja melancarkan konsol PlayStation 5 Pro mereka beberapa bulan lalu, ia tidak mengejutkan untuk melihat bagaimana Microsoft juga harus melakukan sesuatu untuk tidak ketinggalan dalam industri ini.