Garmin Index Sleep Monitor Diperkenalkan Untuk Bantu Anda Pantau Waktu Tidur
Amy Maizuraa
Tidur yang mencukupi dan berkualiti bukan sekadar soal rehat. Malahan ia merupakan penentu kesihatan harian yang sering diabaikan. Garmin kini memperkenalkan Garmin Index Sleep Monitor, iaitu peranti pemantauan tidur pintar yang direka khas untuk mereka yang ingin memahami corak tidur dengan lebih mendalam tanpa perlu memakai jam tangan yang tebal di pergelangan tangan.


Garmin Index Sleep Monitor ini hadir dalam bentuk band yang dipaai di lengan atas. Ia terdiri daripada dua komponen iaitu tali sejenis nilon spandeks yang boleh dilaraskan dan modul sensor yang boleh ditanggalkan. Peranti ini juga ringan tanpa skrin atau butang supaya tidak menganggu semasa tidur.

Apa yang menjadikan Garmin Index Sleep Monitor ini menarik ialah kemampuannya untuk memantau tahap tidur, skor kualiti tidur, skor kualiti tidur, kadar denyutan jantung, perubahan pernafasan, serta HRV. Untuk pengguna wanita, peranti juga menyokong pemantauan kesihatan wanita yang berkait dengan kitaran haid.


Garmin Index Sleep Monitor turut boleh disambungkan ke aplikasi Garmin Connect atau jam tangan Garmin yang lain bagi menyelaraskan data dengan lebih mudah. Ia juga menyokong fungsi Smart Wake Up Alarm yang berupaya mengejut pengguna (hanya semasa dalam fasa tidur) bagi membantu mereka bangun dengan rasa lebih segar dan bertenaga.
Dari segi ketahanan, peranti ini menawarkan bateri yang mampu bertahan sehingga tujuh malam dengan hanya sekali cas. Tali nilon yang digunakan pula boleh dicuci untuk memastikan kebersihan sentiasa terjaga. Peranti ini juga tersedia dalam pelbagai saiz bemula dari S hingga XL.